Skip to main content
Berita TempatanSabah

Politeknik KK Komited Cipta Pasaran Produk Inovasi

By 31 Oktober 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Siti Mariam Aziz Rashid / Foto: Ersugandi Marsuki (Sabah)
 
KOTA KINABALU, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Para pelajar Politeknik Kota Kinabalu (PKK) sentiasa komited mencari peluang bagi memasarkan pelbagai produk hasil ciptaan inovasi dalam pasaran dunia industri hari ini.

Pengarah PKK, Zainab Othman berkata sebagai usaha mempertingkatkan lagi kualiti pembelajaran berasaskan kemahiran, PKK berhasrat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pemain industri selain sebagai usaha memasarkan hasil ciptaan inovasi pelajar di pasaran semasa.

“Sebagai permulaan PKK berhasrat memperluas jaringan kolaborasi ini dengan sebuah industri makanan yang berprestij tinggi seperti ADABI Sabah Distribution Sdn. Bhd (ADABI).

Katanya, jaringan kerjasama bersama syarikat ini lebih tertumpu kepada mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pemasaran produk yang dihasilkan para pelajar dan pensyarah.

Muhammad Zahari (empat dari kanan) menyerahkan cenderakenangan ADABI kepada Zainab sambil disaksikan oleh Dullah (tiga dari kanan) dan Wan Norliana (empat dari kiri) berserta rombongan pegawai PKK.

Muhammad Zahari (empat dari kanan) menyerahkan cenderakenangan ADABI kepada Zainab sambil disaksikan oleh Dullah (tiga dari kanan) dan Wan Norliana (empat dari kiri) berserta rombongan pegawai PKK.

“Ketika ini PKK memiliki banyak hasil ciptaan inovasi pelajar yang memenangi pelbagai anugerah pelbagai peringkat dan sebagai nilai tambah kepada penghasilan tersebut kami mengadakan kunjungan ini bagi membincangkan peluang untuk memasarkan produk-produk pelajar tersebut,” kata Zainab.

Tambahnya, semua pelajar semester akhir PKK akan meyediakan projek inovasi mengikut bidang masing-masing dan akan dinilai serta diangkat untuk ke pertandingan di peringkat seterusnya sekiranya mendapat keputusan yang cemerlang.

“Hasil produk inovasi para pelajar dan pensyarah PKK ada yang telah berjaya hingga ke tahap antarabangsa, namun demikian usaha untuk memasarkan produk berkenaan masih di peringkat perancangan.

“Oleh itu, kami perlu bergerak lebih pantas dalam mencari rakan kerjasama terutama dalam aspek khidmat nasihat daripada industri-industri yang mempunyai kepakaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus ADABI Sabah Distribution Sdn Bhd, Muhammad Zahari Muhd Nasi berkata, pihak ADABI mengalu-alukan usaha PKK untuk menjalin kerjasama dengan ADABI.

“Syarikat kami amat mengalu-alukan kerjasama ini terutama dalam khidmat nasihat serta kepakaran dalam urusan pengkomersilan produk hasil ciptaan pelajar dan pensyarah yang berpotensi serta mempunyai nilai komersil.

Menurutnya, pihak ADABI sebelum ini telah menjalinkan kerjasama bersama pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga dalam aspek membantu mempromosikan produk inovasi makanan yang dikeluarkan oleh para pelajar UMS.

“Kita dapati para pelajar mempunyai banyak idea untuk menghasilkan produk khususnya berkaitan makanan, namun menghadapi kesulitan dalam urusan pemasaran produk tersebut,” kata Zahari.

Jelasnya lagi, pihak ADABI bersedia memperluas lagi jaringan kolaborasi bersama Institut Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta di negeri ini sebagai galakan ciptaan-ciptaan produk tempatan yang berkualiti serta bernilai komersial di pasaran tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.

“Kita ingin tampilkan produk-produk makanan berasaskan sumber tempatan, dan tertakluk kepada pematuhan piawaian kualiti yang ditetapkan.

“Syarikat kami ingin memastikan setiap produk-produk yang dihasilkan mempunyai nilai komersil tinggi serta boleh pergi lebih jauh lagi sehingga peringkat antarabangsa,” tambahnya lagi.

Turut dibincangkan pada pertemuan tersebut adalah ruang untuk para pelajar PKK menjalankan latihan industri di syarikat tersebut serta penglibatan ADABI dalam aktiviti-aktiviti berkaitan taklimat kerjaya.

Pihak ADABI juga turut dijemput selaku salah seorang panel penilai projek akhir pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti khususnya bagi Sesi Disember 2017 yang akan datang.

SF

Tinggalkan komen anda