
Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)
SANDAKAN, 20 Okt (Malaysiaktif) – Rasa tersentuh saat melihat anak-anak penyu dilepaskan ke laut, terkapai-kapai berenang berjuang untuk hidup, mengikut arus ombak yang entah ke mana.
Berdasarkan statistik terkini Taman-Taman Sabah dilaporkan dalam 1000 ekor anak penyu yang dilepaskan, hanya seekor yang mampu berjuang untuk hidup disebabkan pelbagai ancaman yang menanti di laut lepas.
Dalam pada itu, menurut Ketua Ranger, Abd Nasir Salahuddin kadar kematian anak penyu agak tinggi, selain menghadapi ancaman di laut kerana pembesaran anak penyu amat perlahan.
“Anak penyu mengambil masa 15 hingga 20 tahun untuk menjadi matang di kawasan tropika, penyu betina yang matang akan kembali ke pantai yang sama penyu tersebut menetas untuk bertelur.
“Penyu jarang tinggal di tempat kelahirannya. Penyu akan berhijrah ke kawasan pemakanannya dan kembali ke tempat lahirnya untuk bertelur,” jelas Nasir semasa menerima lawatan daripada Pejabat Perancangan Bandar dan Desa ke pulau terbabit pada Rabu.
Katanya lagi, penyu dipercayai wujud sejak 185 juta tahun dahulu dan berdasarkan fosil, dipercayai terdapat lebih kurang 30 spesies penyu pada masa itu yang kemudiannya telah pupus secara semula jadi.
“Spesies penyu hijau dan penyu sisik merupakan dua jenis penyu yang biasa dijumpai di Sabah. Kedua-dua spesies penyu ini boleh ditemui naik bertelur hampir setiap malam sepanjang tahun di Taman Pulau-Pulau Penyu.
“Istimewanya di Pulau Selingan ini, ada seekor penyu yang kami gelar Otai Penyu kerana pertama kali dikesan pada 1997 dan hingga Ogos tahun ini, yang telah naik sebanyak 45 kali,” ujar Nasir.
Menurutnya, lubang penetasan telur penyu yang pertama di Pulau Selingan dikesan pada 1966 dan mereka membantu telur-telur menghasilkan penyu jantan.
“Dari segi penyelidikan, suhu kepanasan di Malaysia yang panjang akan menghasilkan banyak penyu betina, sebab itu di tapak penetasan pertama lebih terlindung bagi menghasilkan penyu jantan. Tetapi, jika cuaca panas yang terik sepanjang tahun, penyu di tapak penetasan pertama juga akan menjadi betina,” katanya.
Terdapat juga beberapa sebab lain yang menjadi punca pengurangan populasi penyu antaranya pengambilan telur dan daging oleh manusia, gangguan para pelancong semasa penyu bertelur, mati lemas di dalam pukat dan pengeboman ikan di kawasan habitat penyu.
Namun begitu, pemuliharaan penyu di Sabah khususnya Taman Pulau-Pulau Penyu telah mengalami banyak perubahan yang ketara sejak mula diwartakan pada 1977.
“Transformasi ini bukan saja dari segi pembangunan malahan bagi menambah baik kaedah pemuliharaan penyu terbaik,” katanya.
Apabila ditanya jika benar penyu menangis? Jelas Nasir, Penyu ‘menangis’ untuk membuang garam yang berlebihan dalam badan dan juga untuk membersihkan matanya daripada pasir semasa menggali sarang.
Sementara itu. Pegawai Perancang Bandar dan Wilayah Cawangan Sandakan, Rozidah Samudin ketika berkunjung ke Pulau Selingan (Pulau Penyu) mengakui banyak aspek yang dapat dipelajari semasa melihat kehidupan penyu di pulau terbabit. Pulau Selingan, Bakkungaan Kecil dan Gulisaan merupakan kepulauan dari Malaysia dalam sembilan pulau di dalam Kawasan Perlindungan Warisan Kepulauan Penyu (TIHPA).
TIHPA ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Filipina pada 1996 yang bertujuan melindungi populasi penyu di kawasan kejiran ini. Rozidah bersama rombongan seramai tujuh orang ke Pulau Selingan baru-baru ini untuk membuat kajian dan pengumpulan data bagi penyediaan buku untuk daerah Sandakan.
Katanya, banyak yang dapat saya pelajari ketika berkunjung di sini terutama memgetahui cara penyu-penyu ini perlu diselamatkan daripada kepupusan dan pelepasan anak-anak penyu perlu dilakukan pada waktu malam untuk mengelakkan pemangsa.
Tambahnya, amat mendukacitakan apabila mengetahui perbezaan statistik terkini berbanding 10 tahun lalu yang menunjukkan peratusan kepupusan penyu yang semakin meningkat.
“Kita seharusnya membantu usaha-usaha pemuliharaan anak penyu supaya statistik penyu-penyu di lautan ini boleh ditingkatkan.
“Saya turut terbuka hati untuk menjadikan anak penyu sebagai anak angkat iaitu kita hanya mengetahui program anak angkat sering berlaku antara pelajar tetapi di pulau ini kita berpeluang menjadikan anak-anak penyu ini sebagai anak angkat.
“Ini juga ialah contoh kepada kakitangan saya untuk menyatakan tidak pada kepupusan penyu ini serta berharap mereka akan mempelajari sesuatu,” jelasnya.
Menurut Rozidah, amat mudah jika ingin menjadikan anak penyu ini sebagai anak angkat iaitu dengan hanya memberi sumbangan sebanyak RM100 dan pihak Taman-Taman Sabah akan memaklumkan melalui e-mel maklumat anak-anak penyu yang selamat menetas dan berjaya dilepaskan di laut.
“Kita sebagai masyarakat tempatan seharusnya berhenti memakan telur penyu dan menyokong program kesedaran yang dijalankan oleh Taman-Taman Sabah yang bergiat aktif untuk menyedarkan masyarakat.
“Dengan statistik yang dilaporkan, kita lihat kepupusan itu pasti terjadi, jika kita tidak menyokong usaha-usaha ini dan katakan tidak kepada penjual-penjual telur penyu maka pasti program ini tidak akan berjaya,” kata Rozidah.
Tambahnya, pengajaran yang diperolehnya juga adalah penting untuk katakan tidak kepada plastik kerana merupakan pembunuh utama penyu di lautan.
“Ini kerana mereka akan menyangka itu merupakan obor-obor yang merupakan makanan mereka. Jadi kekal menggunakan bahan kitar semula atau gunakan kertas saja,” ujarnya.
-SF