Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedahPutrajayaWilayah Persekutuan

Pewaris Muda Meriahkan Sukan Rakyat

By 20 Oktober 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya)

JITRA, 20 Okt (Malaysiaaktif) – “Saya kalau masuk pertandingan, matlamat utama saya nak menang, itu saja yang saya fikir, tak kisahlah nombor berapapun asalkan saya menang.”

Pelajar Universiti Utara Malaysia, Farah Atiqah Mohd Yusof, 24, berkata demikian ketika ditemui selepas aktiviti sukan rakyat sempena Program Pewaris Muda Negara Peringkat Kebangsaan 2017 di Kampung Chegar, di sini hari ini.

Pelajar UUM, Farah Atiqah Mohd Yusof, 24 [Foto: Muhammad Rizal Redzuan]

Pelajar UUM, Farah Atiqah Mohd Yusof, 24 [Foto: Muhammad Rizal Redzuan]

Anak jati Kedah yang memenangi tempat pertama acara ligan ayam kategori perempuan dan tempat kedua acara tangkap itik kategori perempuan ini berkata ini merupakan kali pertamanya mengambil bahagian dalam sukan rakyat.

“Di situ ada tiga ekor yang dilepaskan, mula-mula kita ‘aim’ dulu yang mana kita nak, lepas kita ‘aim’, kita tuju yang ini saja, tak perlu nak ke arah lain, itu adalah salah satu strategi saya.

“Program seperti ini dapat bagi pengalaman. Macam saya walaupun duduk di kampung, saya tak pernah buat benda ini dan diberi peluang kepada yang luar bandar untuk tangkap ayam, masuk dalam bendang, dapat tengoklah apa sebenarnya orang kampung buat yang kita tak pernah rasai,” katanya.

Para peserta lelaki pewaris muda ligat menangkap ikan dalam aktiviti Sukan Rakyat di bendang

Para peserta lelaki pewaris muda ligat menangkap ikan dalam aktiviti Sukan Rakyat di bendang

Menurut Farah, dia pernah menjadi peserta program keluarga angkat pada zaman persekolahan dan urusetia program buat beberapa kali.

“Program ini bagus, dapat kita mengenal masyarakat sekeliling dengan lebih dekat, mengeratkan silatulrahim antara kita dengan orang-orang kampung.

“Saya selalu galakkan kawan-kawan. Kalau saya pergi mana-mana, kalau ada kekosongan saya akan ajak kawan-kawan saya sekali,” katanya lagi.

Sementara itu, peserta yang berasal dari Sabah, Malinda Asai, 21, turut memenangi acara menangkap ikan dan ligan ayam dalam bendang.

Peserta dari Sabah, Malinda Asai, 21 [Foto: Muhammad Rizal Redzuan]

Peserta dari Sabah, Malinda Asai, 21 [Foto: Muhammad Rizal Redzuan]

 Malinda yang belajar di Kolej Pertanian Malaysia berkata dia pernah masuk ke bendang milik ibunya sekali dan selama setahun lebih belajar di Kedah dia tidak pernah masuk ke bendang.

“Walaupun saya orang kampung, saya tidak pernah tangkap ikan dengan tangan, selalunya memancing dan ayam pula memang pertama kalilah tangkap dalam bendang,” katanya.

Pasukan St. John turut membantu para peserta yang tercedera

Pasukan St. John Ambulans turut membantu para peserta yang tercedera

Tambah Malinda, di berasa seronok kerana program ini banyak memberi pengalaman baharu kepadanya.

“Ini pertama kali saya sertai program keluarga angkat yang terus dengan keluarga, bukan dengan kawan-kawan. Hati itu macam-macam yang dirasai, takut pun ada. Takut dapat keluarga yang di luar fikiran kita, tetapi kebanyakannya semua menyeronokkan.

“Aktiviti macam ini patutlah dibuat, bagi orang bandar rasa macam mana orang luar bandar rasa dan bukan hanya untuk pemuda pemudi di luar bandar, tetapi dalam bandar juga perlu ikut serta sebab program ini tak mencabarpun, dia hanya bagi kita satu pengalaman yang seronok,” katanya lagi.

Pengerusi JKKK Kampung Chegar, Yob Ramli [Foto: Muhammad Rizal Redzuan]

Pengerusi JKKK Kampung Chegar, Yob Ramli [Foto: Muhammad Rizal Redzuan]

Dalam pada itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chegar, Yob Ramli, kampung ini sudah beberapa kali menjadi tuan rumah untuk program anak angkat kepada universiti sebelah utara.

“Sambutan pada kali ini saya lihat amat meriah kerana melibatkan jabatan kerajaan, dan sambutan daripada penduduk kampung dan kampung-kampung berdekatan yang mengambil bahagian acara yang telah diaturkan.

“Acara petang ini sangat menarik kerana kita mengadakan sukan rakyat di bendang. Ramai anak-anak angkat yang tak pernah masuk ke bendang, tetapi hari ini mereka masuk ke bendang dengan acara-acara yang telah diatur seperti tangkap itik, gagau ikan, ligan ayam, bola sepak dalam bendang dan acara memancing,” katanya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat menyembur air kepada para peserta setelah tamat aktiviti sukan rakyat

Pasukan Bomba dan Penyelamat menyembur air kepada para peserta setelah tamat aktiviti sukan rakyat

Jelas Yob Ramli, seramai 51 keluarga dan 106 anak angkat telah mengambil bahagian pada program kali ini.

“Diharap bila mereka datang ke kampung dengan pengalaman yang sebegini, mereka tahulah bagaimana orang kampung di kawasan bendang ini bekerja. Petani-petani ini bekerja sebagai tradisi. Tahulah betapa susah payahnya bekerja di bendang ini dan bekerja di bendang ini sudah tentulah berlumpur seperti mereka berlumpur pada petang ini,” katanya lagi.

Tambah Yob Ramli, kira-kira 40 peratus penduduk di Kampung Chegar adalah petani, 30 peratus kakitangan awam dan swasta, manakala 30 peratus lagi bekerja sendiri seperti mengambil upah dan berniaga kecil-kecilan.

Tinggalkan komen anda