Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kecekalan Serta Kesabaran Perlu Dalam Mendidik Anak OKU

By 19 Oktober 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mahdini Jaini (Sarawak)

MIRI, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Minat mendalam serta kecekalan yang tinggi  menjadi pendorong utama buat para petugas pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dalam memastikan golongan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) menerima pendidikan yang sempurna.

Menurut salah seorang peserta yang merupakan penyelia PDK Sunflower Miri, Sundai ak Rekan, 40, pengalaman beliau selama 20 tahun bertugas menjelaskan pelbagai cabaran perlu ditempuh dalam usaha mendekati dan memahami karakter anak-anak istimewa ini.

“Kanak-kanak OKU ini terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya masalah pembelajaran, masalah fizikal, mental dan pendengaran maka penerimaan mereka terhadap suatu proses latihan dan terapi juga berbeza-beza.

Sundai ak Rekan ketika ditemui MalaysiaAktif.

Sundai ak Rekan ketika ditemui MalaysiaAktif.

“Sebagai tenaga pengajar kita harus sentiasa peka dan memahami tingkat kemampuan dan keperluan latihan untuk mereka,” kata Sundai.

Sundai turut berkongsi pengalaman beliau ketika mendidik seorang kanak-kanak autism beberapa tahun lalu yang memberikan inspirasi buat dirinya untuk terus berjuang dalam bidang ini.

“Meskipun kanak-kanak tersebut amat sukar dikawal semasa mula-mula dihantar ke pusat pemulihan, namun menerusi latihan dan terapi berterusan yang dijalankan akhirnya kanak-kanak tersebut telah berjaya mengikuti sesi pembelajaran dengan baik dan mengembangkan potensinya dalam bidang seni dan kraftangan,” jelasnya lagi.

Menurut rakan sejawat Sundai, Lahung Ngau , 46, beliau sentiasa positif terhadap perkembangan kanak-kanak OKU di pusat tersebut kerana setiap daripada mereka memiliki kemahiran tertentu sekiranya dilatih dari semasa ke semasa.

Beliau juga merupakan seorang OKU akibat kemalangan yang dialamanya ketika remaja. Lahung menyatakan selain bertugas sebagai tenaga pengajar di PDK, beliau turut melakukan tugas-tugas pentadbiran pejabat.

“Ini merupakan kali pertama saya mengikuti bengkel sebegini bersama ahli PDK yang lain dan menerusi program ini kami bertuah kerana memperoleh peluang ini untuk berkongsi pengalaman dan ilmu bagi tujuan pendidikan di PDK masing-masing nanti,” ujar Lahung.

Lahung Ngau berkongsi pendapatnya berkaitan penganjuran bengkel.

Lahung Ngau berkongsi pendapatnya berkaitan penganjuran bengkel.

Sementara itu, Rafidah Ladang, 37, penyelia PDK Lawas ini menyatakan minat beliau yang mendalam serta niat ingin membantu keluarga kanak-kanak OKU membuatkan beliau bersemangat untuk terus berbakti mendidik mereka.

“Saya juga adakalanya beremosi terutama ketika melihat kesungguhan kanak-kanak OKU ini melakukan aktiviti dan semua ini secara tidak langsung menguatkan lagi jiwa saya sebagai pendidik.

“Mengikut permerhatian saya, kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran seperti disleksia (masalah perkembangan kemahiran membaca,menulis dan mengeja) dan diskalkulia (kesukaran menguasai kemahiran matematik) sebenarnya mampu mempelajari sesuatu dengan pantas namun kaedah menyampaikan ilmu dan melatih mereka perlulah dengan teknik berbeza serta kita sebagai pendidik juga harus banyak bersabar ketika bersama mereka,” kata Rafidah.

Rata-rata para peserta bengkel ketika ditemui menyatakan bahawa bengkel intervensi ini memberikan banyak manfaat kepada mereka untuk dipraktikkan dalam sesi latihan dan pembelajaran di pusat PDK masing-masing kelak.

Seramai 40 orang petugas daripada 10 buah PDK dari  Zon Utara Sarawak merangkumi kawasan Miri, Bintulu, Limbang, dan Lawas telah menyertai Bengkel Intervensi Awal Kanak-kanak OKU  yang berlangsung sejak Ahad lalu dan berakhir semalam yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak, di sini.

 

– SH

Tinggalkan komen anda