Skip to main content
Berita TempatanSabah

Perarakan Usunan Kota Belud Perayaan Bersama

By 31 Oktober 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA BELUD, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Penuh tradisi. Begitulah yang dapat digambarkan persembahan Persatuan Chung Hwa sewaktu menyertai Pertandingan Perarakan Usunan Siri Ke-6 sempena Tamu Besar Kota Belud pada Sabtu.

Menurut Timbalannya, Chua Tian Shing, 55, penyertaan mereka setiap tahun dalam perarakan tersebut sebagai tanda sokongan dan bukti keberadaan masyarakat  Cina di Kota Belud yang menjalani hidup harmoni bersama bangsa lain.

“Saya anak jati Kota Belud dan memang menetap di sini, semestinya saya akan menyokong program tradisi sebegini, walaupun saya Cina, saya fasih berbahasa Bajau.

“Setiap tahun, kami akan memberi persembahan yang berlainan dan tonjolkan kepelbagaian etnik Cina yang ada, untuk tahun ini kami persembahkan etnik Hokkien pula.

“Hampir RM3000 kami belanjakan untuk perarakan ini, setiap tahun pun kami hanya dapat tempat sagu hati, tetapi kami tidak kisah bila tidak dapat semula modal yang dikeluarkan, yang penting bagi kami ialah penyertaan,” ujar Tian Shing bersemangat.

Pengantin lelaki menyambut ketibaan pengantin wanita sebelum melangkah di unggun api.

Pengantin lelaki menyambut ketibaan pengantin wanita sebelum melangkah di unggun api.

Persembahan Persatuan Chung Hwa juga amat menarik dengan perarakan perkahwinan dari rumah perempuan ke rumah lelaki dengan menggunakan tandu diiringi pengapit serta hantaran barangan dan wang ringgit.

“Pengantin perempuan akan menutup kepala dan muka dengan kain merah yang membawa maksud untuk mengelakkan dari segala malapetaka dalam menempuhi kehidupan selepas berkahwin.

“Pengantin perempuan yang telah diusung ke rumah lelaki perlu jalan selangkah, dan tidak boleh menoleh ke belakang, sementara wajahnya ditutup dengan sebuah nyiru diperbuat daripada bambu oleh pengantin lelaki.

“Sebelum masuk ke rumah, pengantin perempuan akan melangkahi satu unggun api yang membawa maksud akan memberi nasib yang baik kepada keluarga pengantin lelaki,” jelasnya.

Tambah Tian Shing, pengantin lelaki akan menyentuh kepala pengantin perempuan tiga kali dengan menggunakan kipas tangan sambil mengucapkan dengar cakap bapa mentus pada sentuhan pertama, dengar cakap ibu mertua pada sentuhan kedua dan pada sentuhan ketiga pula dengar cakap suami.

“Apabila di dalam rumah pengantin lelaki, pasangan pengantin dikehendaki untuk menjalankan upacara sembahyang sembah langit, moyang, ibu bapa, saudara mara, suami isteri sendiri dan seterusnya diikuti upacara minum teh dan pemberian angpau,” jelasnya dengan harapan tradisi ini akan dipertahankan oleh generasi muda.

Sementara itu, 47 orang peserta yang terdiri daripada belia-belia Iranun dari Kampung Merabau turut membuat persembahan dan juga membuat prop adat tradisi etnik mereka daripada keturunan “Datu” dan “Sharif”.

Usunan dibuat berbentuk perahu kerana pada zaman dahulu etnik Iranun menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama untuk berlayar di lautan.

Pada hujung usunan pula akan diletakkan bendera harimau bermaksud usunan tersebut dinaiki oleh seorang pahlawan, keturunan bangsawan iaitu pengantin lelaki.

Sambira (kain hiasan) yang terdapat pada usunan ini menggunakan kombinasi warna tertentu dan mempunyai maksud tersendiri iaitu kuning bermaksud berketurunan diraja atau sharif, hijau merupakan keturunan datu, merah pula sebagai lambang keberanian dan putih lambang kesucian.

Masminah menunjukkan tikar liupan yang dihiasi labuci dan manik berjahit tangan.

Masminah menunjukkan tikar liupan yang dihiasi labuci dan manik berjahit tangan.

Menurut Masminah Jeprun, 30 yang melakonkan watak sebagai pengantin perempuan, tahun ini merupakan kali kelima penyertaan Kumpulan Warisan Merabau dalam perarakan usunan.

Masminah yang masih bujang berimpian untuk menyarungkan pakaian tradisi perkahwinan lengkap etnik Iranun bernilai RM30 ribu termasuk aksesori tembaga kerana ingin meneruskan adat tradisi supaya tidak hilang di telan zaman.

“Keindahan dan perincian yang terdapat pada busana dan tandu pengantin ini perlu dipertahankan kerana ia melambangkan keindahan seni etnik kami.

“Melalui penyertaan belia dalam perarakan tradisi sebegini juga banyak mendedahkan kami maksud tersirat setiap aspek barangan yang dipersembahkan.

“Saya sendiri baru tahu, tikar liupan yang menjadi hiasan pelamin ini bernilai RM800 sehelai dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan menggunakan labuci dan manik serta dijahit tangan,” jelasnya.

Kata Masminah, obor-obor yang dijadikan hiasan usunan pula bermaksud rebung yang menjadi salah satu sumber makanan suku Iranun pada ketika dahulu, manakala pucuknya digunakan untuk membuat corak pada kraf tangan.

Kos keseluruhan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Warisan dalam perarakan itu bernilai RM20 ribu iaitu kos peralatan, hiasan usunan dan hiasan pelamin tidak termasuk baju dan aksesori badan.

Usukan yang disertai dengan para pengiring.

Usukan yang disertai dengan para pengiring.

Dalam pada itu, Ketua Hakim, Datu Jefrin Datu Anggol berkata Usunan merupakan alat seperti tandu yang digunakan untuk mengusung bangsawan atau kenamaan dan dikelilingi oleh pengiring untuk menuju ke suatu tempat.

“Dipercayai usunan diunakan oleh etnik iranun sekitar tahun 1700 di Tempasuk. Raja Ismail bersama tiga orang puteranya dipercayai menggunakan usunan dari Matampai ke pangkalan sebelum memulakan pelayaran.

“Mereka menggunakan 33 buah perahu perang untuk menyerang belanda di Tanjung Pinang pada 1787 atas permintaan Sultan Mahmud II.

“Penggunaan usunan ini disifatkan sebagai satu upacara penghormatan menghantar pemimpin dan pahlawan yang berjuang,” jelasnya.

Menurut Datu Jefrin, urus setia menerima hanya 13 penyertaan usunan pada tahun ini walaupun menetapkan 20 penyertaan pada peringkat awal.

“Kami menerima kurang penyertaan berbanding tahun sebelumnya mungkin disebabkan musibah banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini.

“Namun begitu, semua peserta sangat bersemangat untuk membuat persembahan dan lebih meriah dan berwarna-warni pada kali ini,” katanya.

Pemarkahan yang diberikan juga mengambil kira pelbagai aspek seperti keaslian, reka bentuk, bahan, motif dan ketertiban.

“Kita harapkan agar usunan ini tidak pupus, dalam kalangan belia kita, sebab itu kita tonjolkan usunan supaya lebih menarik dan ada daya cipta yang lebih baik.

“Pertandingan ini juga diadakan untuk menarik belia lebih mendalami perkara tradisi, dan sekiranya tidak diadakan setiap tahun, dua tahun sekalipun memadai untuk menunjukkan perpaduan yang sangat baik kerana masyarakat lain juga turut serta  seperti suku Cina dan Dusun pada tahun ini,” katanya.

Tambahnya, walaupun pada akhir program ini diisytiharkan pemenang, tetapi sebenarnya semua penyertaan ialah juara iaitu juara yang memartabatkan dan mempertahankan tradisi itu sendiri.

SF

Tinggalkan komen anda