Skip to main content
Berita TempatanSabah

CBT Mampu Jana Pendapatan Penduduk Luar Bandar

By 21 Disember 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)

KOTA KINABALU, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) mampu menjana pendapatan penduduk luar bandar terutamanya di kampung selain meningkatkan ekonomi negeri dan negara amnya.

Pengusaha Inap Desa Misompuru di Kampung Minyak, Kudat, Datuk Jeffry Ayah berkata sehingga November lepas, sebanyak 171,737 pelancong telah menyertai program inap desa di kampungnya dan telah menjana pendapatan RM1.2 juta daripada program berkenaan.

Jeffry memberi penerangan berkenaan Telaga Minyak di kampung berkenaan.

Jeffry memberi penerangan berkenaan Telaga Minyak di kampung berkenaan.

“Jumlah tersebut ialah pendapatan keseluruhan kepada 34 peserta yang terlibat menjayakan aktiviti dan produk inap desa di kampung ini.

“Kerjasama daripada penduduk kampung amat menggalakkan kerana pendapatan hasil daripada program ini dikongsi bersama dengan mereka yang terlibat dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Tambah Jeffry, sejak inap desa Misompuru ditubuhkan pada 1999, mereka menerima sokongan daripada kerajaan melalui Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sabah bagi menjayakan program inap desa di kampung berkenaan.

“Melalui MOTAC, kami diberi latihan dan pengiktirafan selain dibantu melalui promosi-promosi di dalam dan luar negara.

“Selain itu, kami juga dibantu untuk menganjurkan program-program tambahan di inap desa bagi menarik lebih ramai pelancong datang dan menginap di sini seterusnya memberi peluang kepada penduduk kampung untuk mendapat pendapatan tambahan,” katanya.

Jeffry turut berkata bagi meningkatkan ekonomi masyarakat kampung, pihaknya juga akan memperluas program berkenaan kepada kampung-kampung di sekitar Kampung Minyak.

“Bagi tujuan tersebut, sebanyak 19 kampung akan dilibatkan. Tujuh kampung akan menyediakan perkhidmatan inap desa sementara 12 kampung akan terlibat dengan menawarkan pelbagai aktiviti dan produk pelancongan setempat,” ujarnya.

Menurut Jeffry, berbeza dengan inap desa yang lain, Misompuru Homestay menyediakan pelbagai aktiviti bermula daripada aktiviti harian penduduk hingga ke aktiviti ekstrim seperti persembahan kebudayaan, demostrasi kraftangan, menjerat ketam, mencari lokan, meredah paya bakau, aktiviti pelayaran, luncur udara dan sebagainya.

Jeffry berkata demikian selepas Program NBOS 1Malaysia Voluntourism: 1Malaysia 1Volunsharing Pengalaman Program Homestay Bersama Media anjuran Pejabat MOTAC Sabah yang disertai oleh Pengarah Pejabat MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar serta 15 peserta daripada staf Pejabat MOTAC Sabah, pengamal media dan pelajar Pengurusan Pelancongan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Demostrasi kraftangan masyarakat Rungus turut tawarkan di inap desa berkenaan.

Demostrasi kraftangan masyarakat Rungus turut ditawarkan di inap desa berkenaan.

Sementara itu, salah seorang pengusaha inap desa di kampung berkenaan, Jonnah Pemanul, 53, berkata industri inap desa banyak memberi perubahan kepadanya dan keluarga.

“Jika dahulu penguasaan berbahasa Inggeris tidak ditekankan di rumah, kini kami mengambil inisatif untuk mempelajari bahasa berkenaan.

“Bukan sahaja berbahasa Inggeris, saya juga ada belajar bahasa Jepun dan Korea. Walaupun hanya perkataan-perkataan asas tetapi dapat membantu kami berkomunikasi dengan pelancong yang tidak dapat berbahasa Inggeris.

“Sebenarnya bukan hanya pelancong yang mendapat pengalaman baharu tetapi saya sendiri selaku tuan rumah turut mendapat pengalaman yang berbeza setiap kali pelancong datang menginap di rumah saya,” katanya.

Kongsi Jonnah, pernah seorang tetamunya dari Jepun menghabiskan hidangan untuk lima orang gara-gara dia menghidangkan semuanya kepada pelancong tersebut.

“Saya kehairanan kerana dia menghabiskan semua hidangan tersebut dan menyangka pelancong tersebut berselera menjamu selera dengan beras kampung yang baru dan wangi.

“Rupa-rupa selepas makan barulah saya tahu rupanya adat orang Jepun yang mesti menghabiskan makanan yang dihidang di depannya,” kata Jonnah ketawa.

Kongsinya lagi, semasa baru berjinak-jinak dengan industri tersebut dia kurang mendapat sokongan daripada suaminya untuk menjalankan inap desa di rumah mereka.

“Suami saya tidak melarang dan tidak juga menyokong dengan aktiviti baharu saya ini tetapi lama kelamaan apabila melihat anak-anak saya turut serta membantu melayan tetamu, dia mula menyokong dalam diam,” katanya tersenyum.

Tambah penjawat awam itu, purata pelancong yang menginap dirumahnya adalah antara tiga hingga 20 orang dalam masa sebulan dan dapat menambah pendapatan sampingan dalam lingkungan RM1000 sebulan.

Razif (kiri) dan Frainy (kanan)

Razif (kiri) dan Frainy (kanan)

Bagi Razif Somuil, 35, dia sama sekali tidak menyangka yang dia dan kumpulan kebudayaannya, Tindakon Dazang dapat membawa nama negara dan memperkenalkan budaya tradisi Rungus ke peringkat dunia setelah menyertai kumpulan kebudayaan Misompuru Homestay.

“Sebelum menyertai kumpulan kebudayaan inap desa ini, kami hanya membuat persembahan di kampung-kampung dan kawasan daerah Kudat sahaja tetapi setelah menyertai kumpulan inap desa Mosumpuru, kami telah berpeluang membuat persembahan di peringkat negeri, kebangsaan dan turut dijemput untuk membuat persembahan di festival-festival muzik.

“Paling membanggakan kami pernah mewakili Malaysia dan memperkenalkan budaya Rungus ke Festival Kebudayaan Antarabangsa di Paris pada 2014 bersama tujuh kumpulan kebudayaan negara lain antaranya  Indonesia, Afrika, Brazil, dan Papua New Guinea,” katanya.

Tambah pemuzik instrumen tradisional Sundatang ini, isterinya, Frainy Jamurak, 35, turut bersama-sama terlibat dalam kumpulan kebudayaan menarikan tarian bangsa Rungus kepada pelancong di samping dapat menambah pendapatan mereka sekeluarga dengan purata pendapatan RM1500 sebulan.

Sejak ditubuhkan pada 1999, Mosumpuru Homestay telah diiktiraf di dalam dan luar negara melalui anugerah-anugerah yang diterima antaranya pernah mewakili industri Inap Desa Sabah ke Acara Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) pada 2009, menerima anugerah khas juri bagi kategori Inap desa Inovatif (sumbangan terbaik kepada ekonomi luar bandar Malaysia) pada Anugerah Pelancongan Malaysia 2010/2011, Anugerah Pelancongan Sabah 2016/2011 bagi kategori Kecemerlang Perkhidmatan Inap desa; Penerima Merit bagi Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015 bagi kategori Inap desa Terbaik dan sumbangan kepada ekonomi penduduk luar bandar Malaysia; Anugerah Pelancongan Sabah 2014/2015 (Perkhidmatan Terbaik Hotel/Homestay) dan Mosumpuru turut dijadikan modul inap desa negara-negara Asia oleh The Asian Productivity Organization (APO), Japan.

Selain itu, Jeffry turut dilantik sebagai penceramah Inap desa dan FarmStay di negara-negara Asia sejak 2012 hingga sekarang oleh The Asian Productivity Organization (APO), Tokyo, Jepun.

SF

Tinggalkan komen anda