
Laporan dan Foto oleh: Jaitripta Kaur & Abdul Raof Othman (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Hampir 15,000 pengunjung pada hari berkerja dan lebih 40,000 pengunjung pada hujung minggu serta cuti umum membanjiri #ExpoNegaraku 2017 yang diadakan di Dataran Merdeka mulai 15 November lalu sehingga semalam.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, sasaran sebanyak 500,000 pengunjung telah tercapai pada hari ketiga terakhir expo ini.
“Expo ini telah mampu mencapai 571,993 pengunjung setakat jam 3 petang tadi, dan dijangka mampu mencapai 600,000 pengunjung sehingga waktu penutupan pada hari ini.
“Jumlah ini sekaligus membuktikan penganjurannya amat dinantikan masyarakat khususnya sekitar Lembah klang dan sekaligus menolak dakwaan yang sering dilemparkan setengah pihak mengatakan penganjuran program berbentuk mega adalah membazir.
“Ilham Perdana Menteri untuk melihat rakyat Malaysia mengalami dan merasai sendiri denyut nadi pembangunan pesat negara melalui pameran berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi telah dizahirkan melalui penganjuran #ExpoNegaraku 2017 ini,” katanya semasa penutupan #ExpoNegaraku 2017, di sini semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan semasa penutupan #ExpoNegaraku 2017 semalam
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Norsuhaida Azmi, 20, berkata, “Ini merupakan kali ketiga saya ke expo ini dan sangat berpuas hati dengan apa yang terdapat dalam expo ini”.
“Saya berharap program ini akan diteruskan pada masa hadapan supaya masyarakat kita dapat mengenali dan mempelajari kemajuan serta pembangunan negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, #ExpoNegaraku yang telah memberi peluang perniagaan kepada 84 pengusaha trak makanan dengan menyediakan khemah, kerusi, meja dan bekalan air serta elektrik tanpa mengenakan bayaran berjaya mengumpul jumlah kutipan jualan kira-kira RM 2 juta.
Rata-rata pengunjung amat kagum dan berpuas hati dengan persembahan dan pengisian ekspo bertaraf antarabangsa ini.