Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

TM Pacu Pertumbuhan Ekonomi dan Gaya Hidup Digital

By 18 Disember 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Jaed Tepus (Sarawak)

KUCHING, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia(SKR1M) yang merupakan hasil Usahasama Awam-Swasta (PPP) di antara Syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) dan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berjaya dilengkapkan lebih awal daripada yang dijadualkan. Kini SKR1M telah mula membawa trafik komersil yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Majlis perasmian sistem tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di sini hari ini.

Bercakap pada majlis tersebut, Abang Johari menjelaskan sistem kabel dasar laut ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam meningkatkan dan menambahbaik ketersediaan dan kualiti akses internet di Sarawak.

 

Abang Johari (tengah) ketika melawat ke tapak pameran.

Abang Johari (tengah) ketika melawat ke tapak pameran.

“Sistem kabel ini mempunyai tiga lokasi pendaratan di Sarawak  iaitu di Kuching, Bintulu dan Miri. Dengan adanya SKR1M, pasti akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat  termasuk warga negeri Sarawak untuk pembangunan sosio-ekonomi mereka,” jelasnya.

Abang Johari turut meyakini, penduduk di Sarawak akan dapat menikmati gaya hidup digital sepenuhnya serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi digital melalui sambungan rangkaian teras yang disediakan SKR1M ini.

Sementara itu, Pengerusi TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata pembinaan sistem kabel SKR1M adalah selari dengan usaha mereka sebagai peneraju konvergens negara.

“Pembinaannya menggambarkan sokongan kuat kami terhadap insiatif kerajaan dalam meningkatkan kapasiti jalur lebar berkelajuan tinggi di negara ini, sekaligus mempercepatkan transformasi ekonomi digital terutamanya di negeri Sarawak.

“Penubuhan sistem kabel SKR1M juga membuktikan peranan TM sebagai pemacu utama infrastruktur komunikasi negara dan kami berbangga menjadi pihak yang diberi kepercayaan dalam melaksanakan teras komunikasi negara ini sebagai  sesuatu yang menjadi tunjang kepada kepentingan nasional,” jelasnya lagi.

SKR1M telah dibangunkan dengan objektif untuk mempertingkatkan sambungan kabel dasar laut domestik sedia ada di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dan memenuhi keperluan pertumbuhan jalur lebar pada masa hadapan.

Sistem kabel dasar laut yang baharu ini adalah sepanjang lebih 3,800 km dengan kapasiti awal empat terabait sesaat (tbps), dengan menggunakan teknologi 100 gigabait per saat serta boleh dinaik taraf kepada kapasiti reka bentuk sekurang-kurangnya 12.8 tbps.

Terdapat enam lokasi pendaratan kabel dasar laut ini, iaitu di Kuantan. Mersing, Kuching. Bintulu. Miri dan Kota Kinabalu.

Turut hadir pada majlls tersebut ialah Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Jaul Samion, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Datuk Bazlan Osman. dan Ketua Pegawai Operasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Dr. Mazlan lsmail.

 

– SH

 

Tinggalkan komen anda