
Laporan & Foto: Fauzrina Bulka (Sabah)
TAWAU, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Sering kali kita baca keburukan mi segera yang disebarkan di Internet. Namun begitu masih ramai juga yang masih menggemarinya kerana kesahihannya belum dapat dipastikan.
Golongan yang paling risau pastilah ibu bapa kerana tidak mahu anak-anak mengambil makanan yang tidak berkhasiat apatah lagi jika anak-anak ini menolak untuk mengambil makanan hijau seperti sayuran.
Masalah yang sama turut dihadapi oleh pemilik Fun Noodle, Eva Tan, 32 dan inilah yang menjadi inspirasi wujudnya produk mi berasaskan sayur-sayuran untuk memastikan anaknya Elisha Nge mendapat khasiat yang secukupnya untuk tumbesaran.
“Elisha pada ketika itu berusia hampir dua tahun dan kecenderungannya untuk menolak sayuran memang membuatkan saya susah hati.
“Kebetulan keluarga suami saya merupakan pengusaha mi di Sarawak, jadi saya gunakan kepakarannya tetapi ditambah dengan idea saya untuk menghasilkan mi sayuran ini.
“Hasilnya sangat mengujakan melihat anak saya dapat menerima rasa mi buah naga berwarna merah jambu yang kami buat untuknya ketika itu,” ujar Eva.
Selepas itu, menurut Eva anaknya mula meminta mi dengan warna yang berlainan pula dan Eva pula rajin untuk mencuba hingga terhasilnya mi daripada koko, daun moringa, kunyit dan juga bijan hitam.
Hasil eksperimennya itu turut diperkenalkan kepada keluarga dan rakan-rakan yang berdepan dengan masalah pemakanan anak-anak dan maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan.
“Saya pernah sertai Jualan Amal pada 2015 yang dianjurkan di gereja, mi saya habis dijual pada hari tersebut walaupun dengan pembungkusan yang belum begitu elok dan jenama yang hanya ditulis tangan.
“Ketika itu, kami hanya menggunakan sebuah mesin kecil untuk membuat mi yang dapat menghasilkan kira-kira 50 biji dalam tempoh sejam.
“Tetapi di situ jugalah titik tolak kami serius untuk berniaga dan menjadikan mi sihat ini sebagai produk utama kami kerana permintaan yang meningkat semenjak jualan amal tersebut,” jelas Eva.
Bagi menampung permintaan yang semakin banyak, Eva membuat keputusan untuk menyewa sebuah rumah untuk dijadikan bengkel pemprosesan mi dan memudahkannya mendapat lesen perniagaan. Dia turut mengupah sepasang suami isteri untuk bekerja dengannya.
“Selepas setahun di rumah tersebut, kami berpindah pula ke kilang yang kami duduki sekarang kerana permintaan yang semakin meningkat dan kami perlukan ruangan yang lebih besar untuk menjemur mi.
“Dengan seramai tujuh orang pekerja yang 100% bumiputera, kami sediakan tempat kediaman untuk memudahkan mereka ke kilang setiap hari,” katanya.
Jelas Eva, peningkatan permintaan itu dapat dilihat dengan jumlah jualan yang mereka buat. Jika sebelum ini mereka hanya mampu menjual satu kilogram sehari, tetapi sekarang sudah mampu mencapai 300 kilogram sehari.
“Kami telah melakukan beberapa perubahan dari segi pembungkusan kerana kami juga banyak belajar untuk memperbaiki kualiti produk sepanjang mula berniaga.
“Jika dahulu pembungkusan untuk perisa mi bertahan tiga bulan sahaja kerana menggunakan plastik biasa, tetapi selepas menggunakan plastik nilon, perisa boleh bertahan sehingga enam bulan selepas pembungkusan,” ujarnya yang berimpian untuk membuka tiga lagi kilang di Kota Kinabalu, Semenanjung dan juga Sarawak.
Tambah Eva, setakat ini mi jenama Fun Noodles miliknya belum lagi memasuki pasaran di semenanjung, tetapi ada beberapa pembelian yang dibuat dari sana melalui atas talian.
“Teknik menjual secara dalam talian ni Eva pelajari daripada kelas eUsahawan anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dalam 200,000 peserta eUsahawan, dia antara 50 peserta yg terpilih untuk mengikuti kursus lanjutan Level Up.
“Sejak tahun lepas saya sudah membuat persediaan untuk mendapatkan tanda halal untuk produknya dengan mengikuti kursus bimbingan ke arah pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Pensijilan Halal Malaysia anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.
Namun begitu, untuk mendapat sijil halal perlulah mendapatkan sijil MeSTI terlebih dahulu dan memerlukan beberapa pengubahsuaian di dalam kilang yang akan mengambil masa kerana bajet kami yang terhad.
“MeSTI dengan elemen utamanya merangkumi kawalan premis, kawalan operasi dan kebolehkesanan ialah skim pensijilan asas kepada pemilik perniagaan makanan yang mahu memohon pensijilan antarabangsa bagi Analisis Bahaya dan Pengendalian Titik Kritis (HACCP) dan Food Safety Malaysia.
“Pihak audit sudah datang melawat dan untuk melayakkan kami memperoleh sijil itu, mereka minta dilakukan beberapa pengubahsuaian pembahagian ruang-ruang untuk memastikan keselamatan makanan, mencegah makhluk perosak dan pencemaran bersilang semasa operasi.
“Saya menjangkakan untuk mendapatkan sijil MeSTI dalam tahun ini juga supaya dapat disegerakan juga untuk mendapat sijil halal, namun begitu pelanggan Islam tidak perlu waswas untuk mencuba produk kami kerana bahan-bahan yang digunakan daripada sumber yang halal dan dikendalikan oleh pekerja Islam,” jelasnya.
Menurut Eva, kebiasaannya pembuatan mi tradisional akan menggunakan sejenis bahan tambahan pangan tidak halal untuk membuatkan tekstur mi menjadi kenyal, tetapi mereka mencari alternatif lain untuk menggantikan bahan ini tanpa mengganggu tekstur mi.
Bermula dengan tiada pengetahuan dalam bidang perniagaan, pada pertengahan 2016 dia mula mengikuti beberapa kursus dan mula berkenalan dengan agensi-agensi kerajaan seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), The Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), LKIM, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan SME Corp Malaysia.
Pada 2016 dan 2017 juga, dia berjaya meraih Ikon Success Story Eusahawan daripada MDEC dan Anugerah Perintis Usahawan Jaya dari Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).
Eva turut memberi sokongan dan semangat kepada surirumah yang mempunyai kemahiran dan ingin berniaga tapi mempunyai masalah kewangan agar memulakan saja dengan apa yang ada di rumah.
Tambahnya, mula secara kecil-kecilan dengan strategi yang baik, sebab dia sendiri sudah lalui dan yang penting perlu dapatkan sokongan dan restu dari suami dan anak-anak.

Mardina (kanan) memastikan anaknya, Sofea Batrisya mendapat khasiat yang seimbang untuk
perkembangannya.
Sementara itu, seorang ibu muda, Mardina Kaharudin, 21 berkata pemakanan anaknya banyak dipantau oleh ibu mentuanga dan seperti ibu-ibu yang lain pasti tidak membenarkan anak atau cucu mereka mengambil makanan yang tidak berkhasiat.
“Ibu mentua saya memang tegas dalam pemilihan pemakanan, mi segera adalah antara makanan larangan di rumah selain jajan.
“Tetapi berbeza dengan Fun Noodle kerana bukan sahaja dibenarkan malah beliau juga turut menggemari mi ini.
“Pada saya, apa yang penting ialah kandungan mi ini yang diperbuat daripada sayuran diharap dapat menambah khasiat yang diperlukan untuk anak saya,” ujar Mardina.
Dalam pada itu, seorang lagi penggemar mi segera, Yantie Gali, 37 berkata dia mendapat tahu tentang mi organik ini melalui teman-teman.
“Mi pertama yang saya beli ialah mi kolo sarawak, anak saya mudah menerima mi ini walaupun pelik dengan warna-warnanya yang terang.
“Saiz hidangan untuk mi juga agak besar untuk anak-anak, jadi adakalanya anak saya tidak dapat menghabiskannya, tetapi apa yang saya suka mi ini tidak kembang walau sudah lama dimasak.
“Apa yang penting, secara tidak sedar anak-anak mendapat khasiat sayuran dengan hanya menjamah mi segera, jadi saya akan pastikan stok ini sentiasa ada di rumah,” katanya.
–SF