Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Warga Emas Seronok di PAWE

By 23 Januari 2018Januari 25th, 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Malini Md Yunos (Port Dickson)

PORT DICKSON, 23 Jan (Malaysiaktif) – “Seronok bila ada PAWE (Pusat Aktiviti Warga Emas) ni boleh jumpa kawan-kawan dan buat aktiviti daripada duduk di rumah tak buat apa-apa. Pagi anak hantar ke PAWE dan petang anak ambil balik sebab mereka risau kita dah peringkat warga emas tinggal seorang di rumah”.

Demikian kata ahli PAWE sejak 2015 yang hanya mahu dikenali sebagai Jamilah, 76, ketika ditemui semasa Program Pemeriksaan Kesihatan di PAWE Parlimen Telok Kemang pagi tadi.

Warga Emas menjalankan pemeriksaan kesihatan di PAWE.

Warga Emas menjalankan pemeriksaan kesihatan di PAWE.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Daerah Port Dickson, Leydiani Panis, berkata PAWE Parlimen Teluk Kemang ini ditubuhkan pada 2015 terletak di Taman PD Delima.

“PAWE beroperasi dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang waktu bekerja biasa dan cuti pada Sabtu, Ahad dan cuti umum. PAWE dilengkapi dengan enam unit mesin senaman treadmill dan dua unit kerusi urut khusus untuk warga emas melakukan aktiviti fisoterapi.

“Selain itu, turut disediakan ruang legar untuk warga emas melaksanakan aktiviti mengaji Al-Quran, perjumpaan rakan-rakan warga emas dan riadah santai.

“Anak-anak yang bekerja tetapi ada masalah untuk memantau ibu atau bapa yang tinggal keseorangan di rumah boleh menghantar ibu atau bapa mereka ke PAWE kerana pusat ini boleh dijadikan transit penjagaan kepada warga emas sementara anak keluar bekerja,” jelasnya.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung yang menghantar bapanya di sini, Alinah Abdul Wahab berharap pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lebih kerap mengadakan program di sini supaya orang ramai sedar tentang operasi PAWE ini.

“Sehingga hari ini, purata 20 hingga 35 warga emas yang hadir ke PAWE dalam seminggu,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Kawasan Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar pula merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat tentang kebersamaan warga emas dalam aktiviti masyarakat.

Tun Hairudin turut melaksanakan pemeriksaan kesihatan.

Tun Hairudin turut melaksanakan pemeriksaan kesihatan.

“Maklumkan kepada anak-anak, jiran tetangga tentang PAWE dan gunakanlah fasiliti yang disediakan oleh JKM ini sebaiknya untuk menjalankan aktiviti warga emas. Kerajaan menjaga untuk kesihatan dengan menyediakan pelbagai inisiatif kepada warga emas seperti program hari ini.

“Seramai 65 orang warga emas dan 10 orang warga tempatan hadir membuat pelbagai saringan pemeriksaan kesihatan, mata dan fisioterapi,” jelasnya.

Turut diadakan pameran Unit Farmasi ‘Kenali Ubat Anda‘, dan Program Saringan Mata Warga Emas 2018 anjuran Panel Penasihat KK Port Dickson dan Kelab Warga Emas KKPD.

SF

Tinggalkan komen anda