Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Impian Penduduk Kampung Labuan Jadi Kenyataan

By 19 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 

LAPORAN      :           Asmidar Zainol /                     FOTO :  Jeffren Malaning (Sabah)

 

KOTA BELUD, SABAH, 18 Feb. (Malaysiaaktif) – Impian penduduk Kampung (Kg.) Labuan untuk mendapatkan kemudahan beribadat yang selesa menjadi kenyataan apabila terbinanya Masjid Jamek bernilai RM200 ribu.

Masjid yang mampu menampung 200 jemaah tersebut dibina oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Indah (kanan) gembira dengan pembinaan Masjid Jamek tersebut.

Indah (kanan) gembira dengan pembinaan Masjid Jamek tersebut.

Indah Awad, 48, meluahkan rasa terima kasih kerana adanya masjid tersebut, penduduk dapat bersolat berjemaah dengan lebih selesa begitu juga apabila menyertai program-program anjuran masjid ini.

“Kalau dahulu, kami menggunakan air sungai untuk mengambil wuduk, tetapi dengan pembinaan masjid baharu ini, keadaan lebih selesa kerana air paip disediakan dengan tempat mengambil wuduk dengan lebih yang baik.

“Di dalam masjid turut disediakan penghawa dingin dan kipas untuk keselesaan jemaah di kampung ini,” katanya.

 

Sementara itu, bagi Mohd Fazli Mohd Arpah, 14, dan Mohd Haizal Adbillah, 13, berasa seronok kerana surau lama telah dinaiktaraf sebagai Masjid Jamek.

Fazli (kanan) dan Haizal (kiri) semasa ditemui di majlis berkenaan

Fazli (kanan) dan Haizal (kiri) semasa ditemui di majlis berkenaan

“Kami selalu bersolat jemaah bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain dan turut menyertai aktiviti-aktiviti masjid seperti membersihkan kubur, bergotong-royong di masjid ini.

“Lagipun, ibu bapa kami sentiasa memberi sokongan dan galakan untuk menyertai program dan aktiviti masjid,” kata Fazli.

Bagi Pengerusi Masjid Jamek Kg. Labuan, Sibil Uli, rasa bersyukur akhirnya dapat merealisasikan impian untuk mendapatkan masjid baharu yang sebelum dinaiktaraf hanya dapat menampung 50 jemaah sahaja.

“Dengan pembinaan masjid ini pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan seperti bacaan surah Yassin, pembelajaran al-Quran untuk kaum wanita, Kelas Berzanji dan Kelas Tahmir kepada warga emas.

“Pada setiap hujung bulan turut diadakan kenduri di sini pada waktu malam bagi mengisi program untuk mengimarah dan mencetus minat orang kampung untuk datang ke masjid.

“Kami juga merancang untuk mengadakan program-program kesihatan, ekonomi dan fardu kifayah seperti pengurusan jenazah untuk menambah pengetahuan masyarakat di kampung ini,” jelasnya semasa ditemui di Majlis Perasmian Masjid berkenaan pada Jumaat.

Salleh (kiri) bersalam dengan mereka yang hadir.

Salleh (kiri) bersalam dengan mereka yang hadir.

Masjid berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak dan turut dihadiri oleh Pengurus Baitul Ehsan JHEAINS, Ustaz Kahar Sundu.

Salleh turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan selepas majlis perasmian masjid itu.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda