
Laporan dan Foto Oleh : Fasharina Kholil dan Rasidi Che Sa
SIK, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Hampir 500 orang penduduk tempatan tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas bersempena Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Sik yang diadakan di Tapak Pasar Malam, Kampung Betong, di sini pagi tadi.
Program anjuran Rakan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri ini turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pasaraya ANEKA serta UMNO Bahagian Sik.
Menurut Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sik, Maizatulakmam Othman, beliau sangat gembira di atas penganjuran program sebegini di daerah ini tambahan pula ianya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan.
“Melalui program seperti ini, orang ramai dapat membeli barangan keperluan harian dengan harga yang jauh lebih murah berbanding harga di kedai mahupun pasar raya. Ini pastinya dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, sambutan hangat program ini terbukti apabila orang ramai datang seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan barangan yang diperlukan dan kesemua barang habis dijual dalam tempoh tiga jam sahaja.
Sementara itu, menurut salah seorang pengunjung, Khairul Izham Yusoff, 27, berharap program ini wajar diteruskan dari masa ke masa kerana dapat membantu orang ramai khususnya golongan yang kurang berkemampuan membeli barang pada harga yang lebih murah.
“Harga barang di dalam program ini sangat murah dan berpatutan. Program ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat dalam berbelanja barangan keperluan harian,” ujarnya lagi.
- MRR