
Laporan Oleh Fasharina Kholil
SIK, 25 Mac (Malaysiaaktif) – “Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa komited dan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang musibah atau bencana,” demikian ucapan Pengarah APM Negeri Kedah, Lt. Kol (PA) Awang Iskandar Ampuan Yaacob bersempena Program Latihan APNM Sik Bersama Komuniti di Dewan Orang Ramai Kg Namek, di sini Khamis lalu.
“Kita harus bersyukur kerana Sik jarang ditimpa bencana alam namun begitu APNM Sik sentiasa bersedia dan siapsiaga untuk menjalankan tugas dalam apa jua keadaan,” jelasnya lagi.
Lt Kol Awang Iskandar turut menambah, komuniti juga perlu memperkasakan sistem pengurusan keselamatan keluarga dan masyarakat agar dapat bertindak sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
“Secara tidak langsung dapat mewujudkan komuniti yang berdaya saing tanpa mengharapkan bantuan jabatan/agensi semata-mata. Walaupun demikian, APNM sedia membantu dan memberi khidmat kepada anggota masyarakat yang terlibat di dalam sebarang bencana,” tambahnya lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kedah merangkap ADUN Belantek, Datuk Mohd Tajudin Abdullah dalam ucapan perasmiannya berharap agar masyarakat sentiasa bersama dengan jabatan kerajaan terutamaya apabila menangani sesuatu bencana ataupun musibah.
“Kita perlu bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang sanggup berdepan dengan apa saja demi untuk menjaga keselamatan komuniti dan masyarakat,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kedah merangkap ADUN Belantek, Datuk Mohd Tajudin Abdullah (duduk tengah)
Beliau turut menyarankan komuniti serta masyarakat setempat agar memperkemaskan sistem keselamatan komuniti untuk kebaikan dan manfaat bersama.
Dalam majlis yang sama, Datuk Tajudin turut menyerahkan sijil dan borang pnubuhan CDERT- C (Civil Defence Emergency Respond Team Community) kepada wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Namek.
– MRR