Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Ribuan Penduduk Samarahan Kunjungi PJSR

By 26 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

SAMARAHAN, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Ribuan penduduk dari sekitar Kota Samarahan dan Asajaya berpusu-pusu memenuhi Dewan Kampung Muara Tuang, di sini semalam bagi mendapatkan barang keperluan harian yang dijual murah pada Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) 2018.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata, dengan adanya PJSR yang menawarkan pelbagai barang makanan dan keperluan harian yang dijual di bawah harga pasaran merupakan bukti kerajaan prihatin terhadap peningkatan tekanan dihadapi rakyat akibat peningkatan kos sara hidup.

Rubiah (tiga dari kiri) memberi penerangan kepada pengunjung yang hadir.

Rubiah (tiga dari kiri) memberi penerangan kepada pengunjung yang hadir.

“Program Jualan Sentuhan Rakyat adalah salah satu usaha kerajaan memastikan kebajikan rakyat dijaga dengan baik,” katanya ketika merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat di sini.

Menurut Rubiah lagi, diharapkan program ini dapat diadakan pada tiap-tiap tahun bagi menangani bebanan dan kos sara hidup rakyat.

“Program seperti ini dilaksanakan di setiap kawasan parlimen bagi membolehkan rakyat membeli barang keperluan harian dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran dan saya bercadang program seperti ini diadakan dua kali dalam sebulan.

“PJSR dalam minggu lepas kita buat di Asajaya mendapat sambutan yang mengalakan, hari ini di Samarahan pun begitu juga dan kita akan rancang program ini di Setakan pada minggu depan, sekarang kita masih mencari tempat yang strategik dan sesuai supaya rakyat dapat sama-sama menerima manafaat daripada PJSR ini,” tambahnya lagi.

Seorang penduduk yang ditemui Madihi Serbani, 54, berharap progran ini dapat diadakan dengan lebih kerap.

Madihi bersama-sama isterinya dengan barangan yang dibeli mereka.

Madihi bersama-sama isterinya dengan barangan yang dibeli mereka.

“Kalau dapat diadakan setiap tahun kerana bagi kami penduduk di Samarahan ini kali kedua kami dapat terlibat sama dalam program ini.

“Apabila program ini diadakan lebih kerap atau sekali setahun bukan sahaja kami berpeluang membeli barang pada harga murah bahkan mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk,” ujarnya.

Lebih 30 keperluan harian seperti beras, telur, gula, tepung gandum, minyak masak, ikan, ayam dan sebagainya yang dijual lebih murah berjaya menarik ribuan penduduk dari kawasan berhampiran.

“Mana nak dapat beli ayam seekor dengan harga RM5.99, dan telur sepapan 30 biji dengan harga RM6.99 sahaja. Semua hanya dapat dibeli di program ini sahaja,” kata seorang pengunjung, Mariah Ajit.

“Ini kali pertama dalam hidup saya dapat membeli barang dengan harga murah daripada biasa seperti minyak peket yang ditawarkan pada RM2.40 sepeket, beras 10 kilogram dijual pada harga RM21.00 sekampit dan banyak lagi barang yang dijual murah,” katanya.

– SH

Tinggalkan komen anda