Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Festival Chap Goh Meh Serlah Perpaduan Rakyat Sarawak

By 14 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Luhat Ajang (Sarawak)

KUCHING, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Bertemakan Celebration of Prosperity in Diversity, festival Chap Goh Meh pada tahun ini disambut dengan meriah daripada pelbagai bangsa dan agama di India Street Pedestrian Mall, Jalan Gambier, di sini semalam.

Festival anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama lapan persatuan dan agensi lain diharapkan dapat meningkatkan momentum Bandar Raya Kuching sebagai bandaraya perpaduan.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam ucapannya mengatakan walaupun Chap Goh Meh merupakan sambutan tradisi masyarakat Cina, namun di Sarawak kemeriahan ini dikongsi bersama masyarakat yang berbilang kaum.

Abang Johari (tengah) menggaul Yee Sang sempena Festival Chap Goh Meh, malam tadi.

Abang Johari (tengah) menggaul Yee Sang sempena Festival Chap Goh Meh, malam tadi.

Sementara itu, Abang Johari turut menjelaskan Sarawak khasnya bandar raya Kuching bakal memiliki beberapa tarikan pelancong baharu dalam tempoh lima tahun ini.

Antara yang dicadangkan adalah air pancuran berirama seperti di Singapura yang akan dibina di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mewujudkan sebuah restoran berkonsepkan Inggeris iaitu ‘English Tea House’ di Kubu Margherita, Tebingan Kuching.

“Taman Budaya, Taman Muzium dan sebahagian daripada Dewan Suarah Kuching akan diangkat sebagai Taman Perpaduan yang mencerminkan perpaduan masyarakat di sini.

“Dengan adanya kerjasama daripada kerajaan dan ramai pakar yang terpilih, pembinaan Taman Perpaduan yang menampilkan khazanah dunia akan dapat diketengahkan dan dapat menyaksikan kehadiran pelancong ke negeri ini akan meningkat,” katanya yang ditemui sempena festival berlangsung.

Menurut Presiden Kuching Indian Fine Arts Association, Ratanah Devi, peluang mengadakan persembahan tarian klasik India di sini merupakan satu penghormatan besar, di mana ia turut  membuka ruang kepada mereka untuk memartabatkan tarian India kepada masyarakat di Sarawak.

Abang Johari dan isteri melontar limau mandarin sebagai sebahagian daripada adat perayaan ini.

Abang Johari dan isteri melontar limau mandarin sebagai sebahagian daripada adat perayaan ini.

“Negeri Sarawak begitu unik kerana kaya dengan kepelbagaian kaum, adat resam, budaya dan tradisi masing-masing. Perpaduan kaum amat rapat di hati masyarakatnya,” ujar Ratanah yang juga merupakan seorang peguam.

Menurut pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kuching, Elvin Mackarther yang mengambil bahagian dalam persembahan wushu gembira kerana berpeluang mengadakan persembahan bersama-sama rakan-rakannya yang berbangsa Cina.

“Saya berasa sungguh selesa dengan kawan-kawan biarpun berbeza budaya dan kaum namun dapat bergaul dengan harmoni,” ujar pelajar berketurunan Bidayuh ini.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan  seperti persembahan tarian singa, pertunjukkan bunga api persembahan tarian tradisional Cina, Melayu, India dan banyak lagi.

Hadir sama di festival ini, isteri Ketua Menteri Sarawak, Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang, dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Richard Wee.

-SH

Tinggalkan komen anda