Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Hikmah Rumah Hangus Terbakar

By 1 Mac 2018Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 

Laporan & Foto  :           Mc Denver L.Toni (Sabah)

 

KOTA KINABATANGAN, SABAH, 28 Feb. (Malaysiaaktif) – Musibah rumah tempat berteduh terbakar pada julai 2015 di kampung Lot M banyak beri dugaan buat keluarga Anwar Badang.

Peristiwa hitam yang menimpa sepantas masa berlaku, tanpa sempat memberikan peluang menyelamatkan harta sepencarian, namun siapa tahu hikmah kejadian beri nikmat kesyukuran apabila mendapat bantuan bina semula dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Penerima Bantuan, Anwar Badang, 90, meluahkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, khususnya dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas bantuan membina semula rumah berkenaan.

Rumah NBOS yang berjaya disiapkan.

Rumah NBOS yang berjaya disiapkan.

“Tiada yang mampu saya ungkapkan lagi melainkan syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu membina semula rumah saya,” ujarnya semasa ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah berkenaan.

Anwar dan lima anaknya, tidak memiliki punca pendapatan tepat dan bergantung pada pekerjaan seharian yang dilakukan untuk mencari sesuap nasi.

Ahli Parlimen P187 Kinabatangan merangkap Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Hj Radin berkata, tugas sebagai anggota bomba dan penyelamat hari ini cukup mencabar dan menuntut suatu pengorbanan tinggi.

“Ini kerana sebagai seorang anggota bomba tugasan tidak hanya tertumpu pada tugasan hakiki tetapi turut menggalas amanah berbakti kepada masyarakat dalam program komuniti membabitkan pembinaan semula rumah terbakar.

“Di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan 7 (NBOS7), saya dimaklumkan sebanyak 27 buah rumah akan dibina oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk tahun ini.

“Tahun lalu sahaja sebanyak 44 buah rumah dibina semula dan 47 buah rumah lagi dalam program baik pulih dan jumlah ini terus meningkat sejak program berkenaan diperkenalkan pada tahun 2012,” katanya.

 

Bung Moktar (tengah) bersama para tetamu yang hadir sama menyempurnakan majlis penyerahan kunci berkenaan.

Bung Moktar (tengah) bersama para tetamu yang hadir sama menyempurnakan majlis penyerahan kunci berkenaan.

Bung Moktar berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan 7 di Kampung Lot M, di sini pada Sabtu.

Tambahnya lagi, kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat terutama golongan yang memerlukan, justeru melalui gerakan NBOS ini, saya yakin usaha sebegini akan diteruskan sebagai suatu bentuk sumbangan bermakna kepada rakyat khususnya di daerah ini.

“Saya berharap, akan lebih banyak lagi projek seumpama ini dapat dilaksanakan dalam membantu masyarakat yang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan,” ujarnya.

Bung Moktar turut mengucapkan tahniah kepada penerima terpilih yang mendapat sebuah rumah baharu malah lebih baik daripada sebelumnya, semoga seisi keluarga kembali ceria dan selesa menjalani kehidupan seharian selepas ini.

Terdahulu, Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Hj Nordin Pauzi mengucapkan setinggi tahniah kepada ketua zon enam, ketua balai dan semua yang terlibat menyiapkan rumah berkenaan.

“Saya merasa bangga kerana pegawai-pegawai yang diamanahkan dapat menjalankan tugas ini dengan penuh komited dan berkualiti walaupun ia di luar bidang tugas seorang pegawai bomba.

“Untuk tahun ini, Bomba dan penyelamat Sabah telah diamanahkan untuk membina dua buah rumah dan 10 baik pulih rumah di bawah program berkenaan.

“Sasaran ini merangkumi pembinaan semula rumah terbakar, rumah golongan miskin dan pembaikan semula, walau bagaimana pun pelaksanaan program ini bergantung pada peruntukan yang diterima serta kelayakan peserta.

Katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan di Kampung Lot M, Kinabatangan pada Sabtu.

Jelasnya, jika dahulu bomba sinonim dengan kerja-kerja pemadaman kebakaran dan penyelamat tetapi melalui program ini bomba akan menggunakan secara optimum tenaga dan kemahiran membantu masyarakat yang terlibat dengan musibah kebakaran atau rumah orang miskin.

“Ini ialah usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan bantuan,” tambahnya lagi.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda