
Laporan oleh: Eviannie Kin / Foto : Shahvian Muhammad Razali (Sabah)
KOTA KINABALU, 01 Mac (Malaysiaaktif) – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) sentiasa prihatin dengan kebajikan komuniti veteran tentera.
Sehubungan itu, bagi menghargai pencapaian komuniti veterannya, seramai 12 pengusaha veteran ATM menerima Anugerah Ikon Usahawan kerana pencapaian yang membanggakan dalam bidang masing-masing.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman semasa Majlis Pelancaran Kampus Satelit PERHEBAT-UMS di sini, pada Selasa.
Salah seorang penerima anugerah, Chin Vun Loong, 63, pengusaha kebun durian di Penampang menyambut baik inisiatif pewujudan Kampus Satelit khas buat anggota dan veteran tentera.
“Melalui PERHEBAT, saya menerima pelbagai manfaat iaitu daripada segi tawaran kursus dan latihan yang diberi sebagai nilai tambah kepada ilmu dan kemahiran yang sedia ada.
“Selain itu, saya juga turut menerima bantuan pinjaman kewangan dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) atas syor daripada PERHEBAT,” katanya.
Bagi Chin, sokongan dan jaringan komuniti veteran ATM dalam PERHEBAT juga membantu dia untuk menjual hasil buah duriannya kepada para penjaja.
Seorang lagi penerima ikon usahawan wanita tunggal, A’wati Othman, 44, yang menjalankan perniagaan dalam butik pakaian di salah sebuah pusat membeli-belah di negeri ini.
Dia turut merasakan Kampus Satelit itu berupaya menjadi platform kepada komuniti veteran untuk menerima kemahiran dan ilmu baharu.
Menurutnya, kursus dan latihan yang ditawarkan banyak membantunya mempertingkatkan kemahiran yang sedia ada.
“Memang ada perubahan kerana pendedahan ilmu dan kemahiran yang saya perolehi dapat diaplikasikan ke dalam aktiviti perniagaan yang dijalankan.
“Daripada segi pendapatan pula, ada perbezaan kerana dalam perniagaan memang memberi peluang dan ruang untuk menjana pendapatan yang lebih besar,” katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut.
A’wati berkhidmat dalam Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) selama 15 tahun dan tamat perkhidmatan pada 2010 di Stesen Komunikasi TLDM, Teluk Sepanggar.
Sejak 2016 lagi, PERHEBAT mengambil inisiatif dengan UMS untuk meningkatkan kemahiran komuniti bekas ATM melalui pelaksanaan program latihan dalam bidang pertanian, akuakultur, penternakan ikan marin (siakap dan kerapu) dan bidang makanan, masakan serta bakeri.
-MRR