Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

RM100 Dapat Macam-Macam

By 3 Mac 2018Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan & Foto Oleh : Mohd Zahid Bin Othman

 

JOHOR BAHRU, 3 Mac (Malaysiaaktif) – “Makcik kalau belanja barang dapur sebulan sekali kadang habis RM300 hingga RM400 tetapi hari ini makcik beli barang RM100 banyak yang makcik dapat,” ujar Jamilah Karim, 60, pengunjung Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Johor Bahru di Dataran Masjid Tun Hussein Onn, Larkin.

 Jamilah Karim (dua dari kanan), kali kedua mengunjungi Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Johor Bahru bersama rakan-rakannya.

Jamilah Karim (dua dari kanan), kali kedua mengunjungi Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Johor Bahru bersama rakan-rakannya.

Ini merupakan kali kedua dia mengunjungi program yang sama pada minggu lepas dan kali ini beliau hadir berkongsi kenderaan bersama rakan-rakan yang lain.

Kavitha Govindasamy, 40, pula berkata, pada hari ini sahaja dia sudah tiga kali ulang-alik ke kereta menyimpan barang yang telah dibeli.

Sudah tiga kali Kavitha Govindasamy dan suami menghantar barang ke kereta selepas membeli barang di sini yang ternyata lebih murah dari harga biasa.

Sudah tiga kali Kavitha Govindasamy dan suami menghantar barang ke kereta selepas membeli barang di sini yang ternyata lebih murah dari harga biasa.

“Hari ini sampai saya tidak boleh pegang banyak barang sebab banyak barang yang murah seperti sayur-sayuran, barang-barang basah dan runcit yang sangat berbeza harga jualannya dengan yang terdapat di kedai-kedai biasa,” jelasnya.

Program kali kedua Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Johor Bahru, mendapat sambutan hebat apabila diserbu orang ramai seawal pukul 7.00 pagi untuk membeli barangan keperluan harian yang dijual lebih murah dari harga pasaran.

Antara barangan yang dijual murah ialah ayam segar (dua ekor RM15.00), ikan Kembung (RM9.00 sekilogram (kg)), Bawang Besar (RM4.00/kg, minyak paket (RM2.40/paket) dan beras 10kg (RM22.00).

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru, berkata, program ini diadakan bukan untuk membantu peniaga membuat keuntungan tetapi untuk membantu masyarakat meringankan perbelanjaan.

ADUN Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru (berbaju putih), sempat meluangkan masa bersama pengunjung program hari ini.

ADUN Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru (berbaju putih), sempat meluangkan masa bersama pengunjung program hari ini.

“Kalau dalam seminggu ini kita boleh berjimat ketika membeli barang keperluan di sini dan minggu depan kita buat lagi program macam ini, bermakna orang ramai dapat berjimat banyak untuk perbelanjaan dalam sebulan,” jelasnya ketika ditemui selepas sesi ‘walkabout’ di tapak program, di sini, hari ini.

Beliau juga menyarankan orang ramai untuk terus berkunjung ke program jualan murah anjuran Kerajaan seperti ini kerana terdapat pelbagai barangan dijual lebih murah walaupun ianya barangan harga kawalan.

Sebagai contoh, harga beras Faiza 5kg dijual RM10 berbanding RM13 harga kawalan, beras Faiza 10kg dijual RM22 berbanding RM26 harga kawalan dan daging segar dijual RM32 berbanding RM36 harga pasaran.

Barisan panjang pengunjung yang datang membeli barangan harga murah di Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Johor Bahru.

Barisan panjang pengunjung yang datang membeli barangan harga murah di Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Johor Bahru.

Pada Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Johor Bahru yang pertama, sebanyak RM76,000 jumlah jualan berjaya dihasilkan dan pihak penganjur mensasarkan jumlah ini akan bertambah pada hari ini berdasarkan sambutan luar biasa dari pengunjung.

Sehubungan itu, Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Johor Bahru akan diteruskan dengan perancangan sebanyak dua kali penganjurannnya setiap bulan dan perkembangan ini sudah semestinya membawa berita gembira kepada penduduk di Parlimen Johor Bahru yang akan mendapat manfaat sepenuhnya dari pelaksanaan program jualan murah sebegini.

– MRR

Tinggalkan komen anda