Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Stesen Kualiti Air Marin RM18 Juta Dipasang di Santubong

By 3 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

SANTUBONG, 3 Mar (Malaysiaaktif) – Sebuah stesen kualiti air marin automatik dipasang di Jeti Pejabat Perikanan Laut Sarawak bagi memastikan sistem pengawasan kualiti alam sekitar yang lebih komprehensif dan mantap.

Pemasangan stesen pemantauan kualiti air marin di Santubong buat pertama kalinya dengan kos sebanyak RM18 Juta bagi tempoh 15 tahun merupakan salah satu daripada inisiatif kerajaan untuk masyarakat di Santubong agar dapat mencari sumber rezeki dengan lebih baik melalui pemantauan kualiti air marin.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kebaikan stesen pengawasan kualiti air marin adalah berperanan untuk menambah baik pengesanan pencemaran laut akibat daripada tumpahan minyak, pelupusan haram dan buangan toksik yang semakin meninggkat.

Wan Junaidi (tengah) ketika merasmikan majlis petang tadi.

Wan Junaidi (tengah) ketika merasmikan majlis petang tadi.

“Ini adalah satu lagi sumbangan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan Santubong ini.

“Kita sepatutnya merasa begitu bertuah kerana salah satu kepentingan stesen pengawasan kualiti air marin ini kepada masyarakat di Santubong adalah ianya akan memberikan amaran awal kepada penguasaha dan para nelayan jika kualiti air marin tercemar,” katanya semasa Majlis Perasmian Stesen Pengawasan Kualiti Air Marin di bawah program pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) di Jabatan Perikanan Laut Wilayah 1, disini hari ini.

EQMP yang dilaksanakan oleh kerajaan ini merupakan kaedah pengukuran kualiti alam sekitar yang relevan dengan keperluan semasa dan sebagai perancangan Malaysia pada masa hadapan.

“Dengan mengambil kira kepentingan rakyat di Negeri Sarawak, saya telah memastikan pemantauan tahap pencemaran udara, air sungai dan air laut di negeri ini merangkumi 12 stesen pengawasan kauliti udara automatik, dua stesen pengawasan kualiti air sungai, dua stesen pengawasan kualiti air marin, 117 stesen persampelan manual air sungai dan 40 stesen manual pengawasan kualiti air marin.

“EQMP ini merupakan penambahbaikan daripada sistem pengawasan kualiti alam sekitar yang telah digunapakai oleh Jabatan Alam Sekitar sejak tahun 1995,” katanya lagi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad, dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.

-SH

Tinggalkan komen anda