Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

EXCO Wira Warisan Sabah, 18 Cawangan Di Bongawan Umum Keluar Parti

By 30 April 2018Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan oleh: Mohammad Abdul Rahman & Sukarni Asun/Foto: Jefren Malaning(Sabah)

BONGAWAN, 30 Apr (Malaysiaaktif) –  Exco Wira Warisan Sabah, Safari Mohammad Adnan, mengumumkan keluar parti bersama 18 cawangannya di kawasan DUN Bongawan.

Menurut Safari yang juga memegang Biro Pendidikan dan Kerjaya serta Seketariat MA63 Warisan Sabah, berkata beliau bersama 1000 ahli akan keluar parti dan menyertai Barisan Nasional(BN) Kimanis dalam masa terdekat. 

“Saya juga ialah Ketua Cawangan Warisan Kampung Padang Darat Bongawan, dan telah menaja lebih 46 Cawangan Parti Warisan di sini, namun hanya 18 cawangan sahaja yang berani tampil untuk keluar parti bersama saya.

Kehadiran Ahli-ahli Parti Warisan dalam sidang media di Markas Induk BN Kimanis

Kehadiran Ahli-ahli Parti Warisan dalam sidang media di Markas Induk BN Kimanis

“Saya melihat Parti Warisan, terutama Presidennya, Datuk Seri Syafie Afdal (DSSA) mempunyai niat tersembunyi dan perjuangan yang dibawa hanyalah berbentuk peribadi semata-mata untuk membalas dendam kepada kerajaan BN.

“Saya sedar perjuangan beliau dan parti tiada hala tuju jelas, lalu saya berharap rakyat Sabah, khasnya masyarakat Kadazan Dusun Murut(KDM) perlu menilai semula perjuangan mereka ini,” kata beliau dalam sidang media khas di Markas Induk BN Kimanis, Green Lodge Bongawan pada Ahad. 

Safari juga turut menjelaskan DSSA tidak menunaikan janjinya khususnya daripada segi pemilihan calon berdasarkan suara rakyat, ini termasuklah mengetepikan suara masyarakat KDM dan melantik calon-calon daripada kroni sebagai calon payung terjun.

Safari (Kiri) Anifah (tengah) dan Mohamad (Kanan), bersama bekas-bekas ahli parti warisan serta kepimpinan BN Kimanis mengambil gambar kenangan

Safari (Kiri) Anifah (tengah) dan Mohamad (Kanan), bersama bekas-bekas ahli parti warisan serta kepimpinan BN Kimanis mengambil gambar kenangan

“Dalam siri jelajah, DSSA berjanji bahawa Warisan akan bertanding di 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN di negeri ini. Kini yang berlaku sebaliknya, apabila gabungan parti pembangkang di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pula diberi ruang bertanding di sini.

“Malah lihatlah pemimpin KDM sendiri, Darell Leiking, Loretto Padua dan Terence yang merupakan ahli majlis tertinggi Parti Warisan Sabah, mereka tidak tersenarai pun sebagai calon, manakala Ketua Wira Warisan Sabah, Mohammad Aziz Jaman pula terpilih menjadi Calon Parlimen Sepanggar, sedangkan beliau bukan berasal dari kawasan sana.

“Ini jelas membuktikan bahawa DSSA hanya menjadikan masyarakat KDM sebagai ‘Nasi Tambah’ sahaja, dipergunakan untuk matlamat peribadi beliau,” katanya kepada media.

Sementara itu Safari juga turut menjelaskan bahawa beliau ialah individu yang berusaha keras membuka beberapa cawangan Warisan di DUN Bongawan dengan menggunakan dana sendiri sehingga sanggup meletak jawatan sebagai kakitangan kerajaan demi parti tersebut. 

Malah Safari turut mendedahkan  beliau dan pengikutnya pernah diugut supaya kekal bersama Warisan setelah usaha rundingan menghalang penglibatan mereka menyertai BN gagal.

Safari (tengah) bersama bekas ahli parti warisan memakai baju BN tanda sokongan kepada BN Kimanis.

Safari (tengah) bersama bekas ahli parti warisan memakai baju BN tanda sokongan kepada BN Kimanis.

“Saya sebelum ini ialah Pegawai Pendidikan di Ibu pejabat Kota Kinabalu, dan telah membelanjakan sebanyak lebih RM 500 ribu sepanjang berada dalam Warisan sejak 2016 lagi. Saya kecewa kerana saya tidak diajak berbincang pun mengenai pemilihan calon.

“Dari itu saya tidak berhutang dengan mana-mana pihak. Dalam sidang media hari ini saya secara terang-terangan keluar parti dan percayalah akan ada menyusul di belakang saya nanti,” ujarnya.

Sekurang-kurangnya lebih 200 orang ahli warisan hadir di sidang media tersebut disusuli majlis simbolik penyerahan baju BN kepada Safari, disempurnakan oleh Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Seri Anifah Haji Aman selaku Menteri Luar Negeri bersama Naib Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Haji Alamin. 

Terdahulu Anifah bersama Mohamad berkesempatan merasmikan Program Jualan Rakyat di Kimanis Centro yang dihadiri lebih 1500 orang warga setempat dengan jualan murah barang-barang keperluan dapur, pameran agensi swasta dan kerajaan, cabutan pengunjung bertuah serta dihiburkan oleh Artis Tempatan, Atmosfera. 

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Kimanis, Firdaus DSP Anifah; Ketua Puteri UMNO Kimanis, Saodah Sharzaman; Ketua Wanita UMNO Kimanis, Surayah Ibrahim.

-MRR

Tinggalkan komen anda