Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

RM30.5 Juta Bina Kolej Komuniti Jeli

By 5 Mei 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Wan Seman Wan Bedollah & Mohd Noor Mahmuddin (Jeli)

JELI, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Penduduk Jeli bakal menerima sebuah Kolej Komuniti baharu setelah kerajaan persekutuan memperuntukkan RM30.5 juta bagi membina pusat pengajian tersebut.

Kolej Komuniti baharu Jeli yang akan dibina di atas tapak seluas 3.2 hektar di Bukit Bunga iaitu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Bunga itu merupakan kampus yang canggih, selesa, lengkap dan akan menjadi kampus kedua terbesar di Kelantan.

Majlis pecah tanah yang disempurnakan Mustapa, siang tadi.

Majlis pecah tanah yang disempurnakan Mustapa, siang tadi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata beliau telah berjuang selama 12 tahun mendapatkan sebuah Kolej Komuniti baharu bagi menggantikan Kolej Komuniti yang lama kerana beroperasi di lot kedai yang disewa di Bukit Bunga.

“Bukan perkara mudah mendapatkan tapak ini dan setelah berjuang selama 12 tahun barulah ia menjadi kenyataan. Terima kasih kepada Kementerian Pedidikan Tinggi kerana banyak membantu untuk merealisasikan impian rakyat Jeli,” katanya ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Jeli, di sini hari ini.

Kolej Komuniti Jeli kini mempunyai seramai 200 orang pelajar dan menawarkan dua kursus utama iaitu fesyen dan pastri.

Mustapa disambut pegawai kolej ketika hadir merasmikan majlis siang tadi.

Mustapa disambut pegawai kolej ketika hadir merasmikan majlis, di sini.

“Tender projek tersebut akan dimulakan dua minggu lagi dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” tambahnya.

Seorang penduduk Bukit Bunga, Hanafiah Jaafar, 60, menyatakan beliau amat bersyukur kerana dengan adanya Kolej Komuniti baharu ini para pelajar dapat belajar dengan lebih selesa.

“Selain itu, ia juga mampu melonjakkan ekonomi kawasan Bukit Bunga di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus, dan calon Barisan Nasional (BN) DUN Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik.

-SH

Tinggalkan komen anda