Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

HWKKS, Jakel Galak Masyarakat Derma Darah Pada Bulan Ramadan

By 4 Jun 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat(Sabah)

 

KOTA KINABALU, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Menjadi orang pertama yang menderma darah, Dayangku Aini Pg Said, 45 tidak menyangka akan memperoleh baucar berjumlah RM30.00 daripada Jakel Silk House Alam Mesra sejurus selepas selesai menderma.

Dayangku Aini Pg Said

Dayangku Aini Pg Said

“Sudah pasti saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Jakel , walaupun sebenarnya apabila menderma kita tidak mengharapkan apa-apa balasan.

“Saya datang ke Jakel hari ini untuk membeli kain pasang, apabila selesai membeli tadi baru perasan ada kempen derma darah di sini dan mendapat baucar.

“Memandangkan saya sudah berbelanja tadi, jadi baucar ini saya akan berikan kepada orang lain yang lebih memerlukan sekurang-kurangnya saya dapat menderma dua kali hari ini iaitu derma darah dan juga baucar Jakel,”katanya gembira.

IMG-20180603-WA0014

Beliau juga menggalakkan orang ramai untuk menderma darah walaupun dalam bulan Ramadan kerana mengakui dengan menderma darah juga dapat membantu penderma untuk mengurangkan berat badan.

Dayangku Aini ditemui selepas menderma darah dalam Program Jom Beramal Bersama Jakel dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas Sabah(HWKKS) di Jakel Silk House, Alam Mesra pada Ahad.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung Shafie Janati, 40 turut menderma darah sementara menanti isteri dan empat orang anaknya membeli belah di Jakel.

IMG-20180603-WA0018

“Saya tidak tahu saya akan dapat baucar daripada Jakel, saya tergerak hati untuk menderma darah hari ini sementara menunggu isteri berbelanja, lagipun bulan lepas saya tidak sempat untuk menderma.

“Sebelum ini saya juga pernah menderma darah pada bulan puasa, fadilatnya sama seperti bersedekah, lagipun puasa tidak menghalang untuk beribadah, beribadah maksudnya bukan sahaja dari fizikal tapi dengan cara menderma darah.

“Tambahan pula, semenjak pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), saya rasa lebih banyak berjimat dan sememangnya pemansuhan itu banyak membantu kami lebih-lebih lagi dalam perbelanjaan rutin membeli barangan dapur, susu dan makan minum untuk sekeluarga.

IMG-20180603-WA0009

Sementara itu, Pengurus Jakel Silk House, Muhammad Aizad Shamsuddin berkata, objektif program yang dijalankan pada hari itu adalah untuk mencapai sasaran untuk mengumpul 200 pain darah daripada 200 pengunjung Jakel.

“Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam betapa pentingnya menderma darah dan kami berharap dapat membantu menganjurkan lagi program sebegini dengan mana-mana pihak supaya dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Ini juga merupakan projek pertama bersama HWKKS dan berharap projek ini boleh dibuat sepanjang tahun kerana kami mempunyai ruang yang sesuai dan cukup serta pengunjung yang agak ramai,”katanya.

Antara pekerja Jakel yang turut sama menderma darah.

Antara pekerja Jakel yang turut sama menderma darah.

Aizad turut menjelaskan bahawa pihak Jakel telah mengurangkan sebanyak 6 peratus dari pada harga barangan selepas pemansuhan GST.

“Buat pengetahuan semua semasa GST dilaksanakan pihak kami tidak menaikkan harga. Di mana kami mengurang 6 peratus daripada keuntungan kami untuk dibayar kepada pihak kerajaan.

“Selepas 1 Jun apabila GST dimansuhkan, pihak kami menawarkan harga yang lebih murah kepada pelanggan dan memberi diskaun kepada mereka, supaya pelanggan gembira untuk mendapatkan barangan daripada kami,”katanya.

Pegawai Seranta, Jabatan Patalogi & Unit Perubatan Transfusi, Yahya Abdul Rajak berkata HWKKS bekerjasama dengan Jakel untuk menggalakkan masyarakat menderma di bulan Ramadan kerana hospital memerlukan darah sebanyak 1000 pain pada setiap bulan.

Yahya Abdul Rajak

Yahya Abdul Rajak

“Tetapi dalam bulan Ramadan dan Syawal jumlah itu berkurangan dan ada kalanya tidak mencapai 500pain sedangkan para pesakit  sangat memerlukan bekalan contohnya pesakit Talasemia, yang mana kanak-kanak ini memerlukan pemindahan darah dalam tempoh dua minggu sekali, empat minggu sekali, dan kadang-kadang sebulan sekali.

“Begitu juga ibu-ibu yang mempunyai masalah ketika melahirkan anak, akan memerlukan sehingga tiga pain darah, jadi kami perlu melakukan sesuatu untuk menggalakkan orang ramai menderma darah pada bulan Ramadan.

Tambahnya, ini lah harinya Jakel menyahut cabaran untuk sama-sama membantu menggalakkan masyarakat untuk menderma, dan Jakel akan berikan baucar berjumlah RM30 kepada penderma yang layak menderma darah.

“Kami menyasarkan 200 pain untuk  empat hari, tetapi jika dapat lebih tinggi lebih bagus kerana bulan Jun ialah bulan kritikal kerana Ramadan dan Syawal disambut bersama.

“Dalam proses menderma darah memang tidak dinafikan penderma akan berasa pening, maka dalam bulan puasa ini kami menggalakkan penderma untuk bersahur terlebih dahulu, memandangkan waktu menderma ini dijalankan pada sebelah petang, maka kami tambah tempoh itu sehingga jam 10.00 malam iaitu selepas berbuka puasa.

IMG-20180603-WA0013

“Memang tidak dinafikan pada siang Ramadan juga masih boleh menderma tetapi terpulang dengan nasihat doktor sama ada layak atau tidak, bergantung dengan kandungan darah bagi mengelakkan pening.”jelasnya.

Kata Yahya, jika menyentuh mengenai Tabung Harapan Malaysia, ia merupakan inisiatif kerajaan baharu untuk mendapatkan bantuan rakyat mengumpul dana membantu kewangan negara, tetapi ia tidak wajib dan terpulang pada individu jika ingin menderma.

“Kita faham ramai rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik ingin turut sama membantu tetapi ada yang tidak mampu mengeluarkan wang ringgit, tetapi jika kita ingin membantu rakyat dan masyarakat yang sakit di hospital, memadai dengan menderma darah yang ada pada kita.

“Satu pain darah yang didermakan mampu menyelamatkan tiga nyawa dalam bulan Ramadan dan darah kita itu mengalir dalam tubuh pesakit sehingga pesakit sudah tiada.

“Jadi sepanjang digunakan darah itu, sepanjang itu juga kita akan mendapat pahala, kerana itu jika kita terkilan tidak dapat menyumbang pada Tabung Harapan Malaysia, menyumbanglah dengan darah sendiri sebagai perhitungan amalan di akhirat nanti,” ujarnya.

Mana-mana agensi sama ada kerajaan, swasta mahupun persatuan yang berminat ingin mengadakan kerjasama mengadakan kempen derma darah bersama HWKKS bolehlah berhubung terus dengan beliau di talian 088-437184 atau 013-3540390 atau e-mel ke [email protected]

Program Amal bersama Jakel ini berjalan selama empat  hari bermula 3, 5 dan 6 serta 9 Jun bermula 3 petang hingga 10 malam.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda