
Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat(Sabah)
KOTA KINABALU, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Ops Mega 3.0 yang sedang dijalankan secara besar-besaran sejak awal Julai lepas di sambut baik oleh Pengarah Jakel Sabah, Amran Md Nor.
Katanya, sejak di buka pada 2009, pengurusan Jakel Sabah lebih selesa untuk menggaji pekerja tempatan malahan 70 orang pekerjanya berasal dari merata tempat di Sabah.
“Pekerja-pekerja saya ada yang berasal dari Kota Belud, Semporna dan Tawau dan kami turut menyediakan hostel untuk kemudahan mereka.
“Air dan elektrik juga di bawah tanggungan kami termasuk kelengkapan rumah seperti katil, peti ais, mesin basuh dan astro supaya kebajikan mereka terjaga.
“Jika pekerja mempunyai masalah keluarga dan kewangan, kami juga tidak teragak-agak untuk membantu lebih-lebih lagi pada pekerja yang sudah lama berkhidmat dengan kami,”katanya.
Mengulas mengenai pengambilan pekerja asing di Malaysia, menurut Amran, masyarakat tidak boleh menuding jari sepenuhnya kepada majikan kerana sikap pekerja asing ini yang lebih berdisiplin dan rajin berbanding pekerja tempatan.
“Rakan niaga saya di semenanjung acap kali memujuk saya untuk cuba menggaji pekerja asing selepas melihat kesungguhan mereka bekerja dan melayan pelanggan yang datang.
“Ketepatan masa untuk datang bekerja serta tidak berkira melakukan tugasan antara faktor majikan gemar menggaji pekerja asing.
“Anak tempatan kita pula ramai yang memilih pekerjaan, sering ponteng, malas dan tidak berusaha untuk membantu syarikat meningkatkan jualan, walaupun tidak semuanya bersikap begitu.
“Tetapi mereka ini seharusnya mencontohi sikap pekerja asing ketika mencari nafkah, kerana jika mereka rajin, pasti majikan akan sayang dan menaikkan gaji mereka sesuai usaha yang dilakukan,”jelasnya.
Menurut Amran, rajin dan usaha adalah kunci kejayaan seseorang, tidak kira samada bekerja makan gaji atau berniaga sendiri, dengan mengambil contoh terdekat dirinya sendiri yang dahulu hanyalah seorang pemandu lori.
“Saya tidak pernah bermimpi untuk mempunyai perniagaan besar begini, memakai baju kemas dan memandu kereta cantik, kerana bekerja mengangkat barang di bahu hanya perlu memakai baju biasa sahaja.
“Kerja saya perlu memandu lori dalam jarak jauh, berpeluh dan kotor selepas mengangkat barang sebelum mencuba-cuba membuka perniagaan langsir jahitan isteri saya.
“Tetapi jika saya ceritakan semua ini kepada pekerja saya mereka tidak akan percaya, kerana mereka tidak tahu bukan mudah untuk menjadi senang jika kita tidak rajin dan berusaha untuk berubah,” ujarnya.
Pengurusan Jakel juga turut menyediakan kursus dan latihan untuk pekerja-pekerja agar memenuhi standard mereka dalam melayani pelanggan.
Moto satu pekerja untuk satu pelanggan juga dikekalkan supaya pelanggan berpuas hati dan selesa berurusan di premis mereka.
Amran ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Jakel bagi meraikan pekerja dan pelanggan mereka yang diadakan pada Sabtu malam di kediaman beliau.
Cabutan tiket bertuah juga turut diadakan bagi menghargai pekerja dan pelanggan mereka agar terus setia berkhidmat dan menjadikan Jakel pilihan utama membeli belah.
-MRR