
KOTA KINABALU: Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) musim ke-11 akhirnya melabuhkan tirai dengan mengangkat kumpulan Atmosfera menerusi lagu ‘Berakhirlah Sudah’ sebagai Juara Lagu dan Lirik Terbaik anugerah tersebut menewaskan sembilan finalis pada tahun ini.
Kumpulan adik beradik yang berasal dari Keningau tersebut membawa pulang hadiah terkumpul sebanyak RM4500, trofi dan sijil penyertaan.
Manakala, Anugerah Vokal Terbaik pula diberikan kepada artis kelahiran Ranau iaitu Fanzi Ruji menerusi lagu ciptaan Douglas Henry dan lirik Ed Widad bertajuk ‘Mimpikan Dia’.
Sementara itu, lagu ciptaan gandingan artis Adin Hans dan Santiana Ramli yang berunsur ketuhanan bertajuk ‘Luka’ berjaya merangkul Anugerah Persembahan Terbaik menerusi nukilan lirik ciptaan Asfarina Mansor.

Persembahan Terbaik Anugerah Juara CLAS-11, Adin Hans (dua dari kanan), Santiana Ramli (kanan) dan penulis lirik ‘Mimpikan Dia’, Asfarina Mansor (tiga dari kanan) menerima mock cek daripada Jenifer.
Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah pada kali ini turut menyiarkan siaran langsung Anugerah Juara CLAS menerusi aplikasi facebook (FB-Live Broadcast) sebagai salah satu usaha untuk memberikan liputan yang lebih meluas kepada penggemar muzik tempatan.
Atas inisiatif tersebut RTM Sabah mewujudkan satu anugerah khas iaitu Anugerah Lagu Popular menerusi undian terbanyak semasa acara tersebut berlangsung di Exhibition Hall Kompleks Karamunsing, pada Sabtu malam.

Penulis lirik dan lagu ‘Gema Derita’, Ateng (dua dari kiri) menerima Anugerah Lagu Undian Terbanyak FB sambil diperhatikan James (kanan), Jovita (dua kanan) dan Malinaziah (tiga dari kiri).?
Dalam pada itu, lagu yang berjaya menambat hati peminat dan dengan undian terbanyak hasil penghakiman awam menerusi FB diberikan kepada lagu ‘Gema Derita’ gubahan lagu dan lirik Ateng, persembahan artis Jovita Johnny.
Kesemua pemenang anugerah menerima hadiah wang tunai RM1000 manakala sagu hati menerima RM700 trofi dan sijil penyertaan yang disampaikan Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jenifer Lasimbang.
Hadir sama Pemangku Pengarah Penyiaran Malaysia (Sabah), Malinaziah Datu Mohd Julaspi dan Pemilik Kompleks Karamunsing, Datuk James Kwong.
-MRR