
Laporan oleh: Asmidar Zainol/ Foto: Mohd. Nasrie Tapisil
TUARAN, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Masyarakat diseru menggunakan teknologi maklumat dengan sebaiknya bagi membasmi masalah pornografi dalam keluarga.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penggunaan gajet secara tidak terkawal boleh memberi implikasi negatif kepada para pengguna terutamanya golongan kanak-kanak sekiranya tiada pengawasan daripada ibu bapa.
“Berdasarkan kajian, terdapat 35.3 peratus remaja berumur 13 hingga 24 tahun terdedah kepada pornografi dan 60.8 peratus memperolehnya daripada internet,35 peratus melalui telefon pintar dan 20 peratus lagi melalui CD atau DVD lucah.
“Rekod Jabatan Pendaftaran Negara juga menunjukkan 4,992 anak tidak sah taraf telah dilahirkan oleh ibu yang berusia bawah 18 tahun dan sehingga Jun 2018, seramai 1,664 orang telah dilahirkan manakala 120 kes buang bayi telah direkodkan pada 2017,” jelasnya.
Tambah Wan Azizah, kajian Risk dan Protection Factor Affecting Adolescent Sexual Behaviour in Sabah and Sarawak oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2016, menunjukkan 22 peratus pelajar sekolah yang pernah mengadakan hubungan seks mengakui ia adalah kesan daripada menonton bahan pornografi.

Ketua SALWA, WADAH Sabah, Profesor Dr Hajah Arsiah Haji Bahron (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Wan Azizah (kanan).
“Oleh yang demikian, pelaksanaan kempen kawalan penggunaan gajet dan keluarga bijak siber perlu diperluaskan ke seluruh negara.
“Pelaksanaan kempen tersebut dapat dilaksanakan melalui agensi kerajaan dengan kerjasama NGO untuk meningkatkan tahap kesedaran keluarga dan masyarakat dalam melayari alam siber secara berhemah,” katanya semasa merasmikan Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, pada Ahad.
Seminar yang dihadiri 500 peserta itu anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, LPPKN, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Sabah serta IPG Kampus Kent.
Antara objektif penganjuran seminar berkenaan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan keluarga tentang bahaya pornografi dan mendidik masyarakat dan keluarga agar menghindari aktiviti pornografi serta memberi solusi kepada mereka yang sudah di peringkat ketagihan.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Christina Liew dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani.
-MRR