Skip to main content
Berita TempatanSabah

Persidangan Sebagai Platform Dapat Maklumat dan Rujukan Terkini

By 31 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Asmidar Zainol/ Foto: Abdullah Sani Arif Lokman(Sabah)

KOTA KINABALU, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Persidangan sains pengkomputeran dan kejuruteraan dijadikan platform untuk mendapat maklumat terkini dan sebagai rujukan pada masa hadapan selain ruang untuk mendapatkan rangkaian jaringan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, 100 peserta dengan 61 pembentang kertas kerja dari dalam serta luar negara menghadiri

The Fifth International Conference On Computational Science and Technology 2018 (ICCST2018)

dan International Conference On Computational Science and Engineering 2018 (ICCSE2018) di sini.

Menurutnya, antara objektif persidangan dua hari tersebut adalah bagi mengenal pasti isu-isu baharu dalam bidang berkenaan dan sebagai platform kepada para penyelidik untuk berkongsi teknik dalam membentuk arah penyelidikan pada masa akan datang.

“Sains komputer bukan sahaja mengubah cara hidup tetapi juga mampu membantu menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian kita.

“Kerajaan juga mengiktiraf kepentingan sains pengkomputeran dalam usaha melahirkan masyarakat pintar di negeri ini selain memanfaatkan teknologi pengkomputeran meningkatkan produktiviti pertanian dan juga dalam bidang pertahanan untuk melindungi Sabah daripada ancaman militan.

“Dengan kepakaran semasa dan kewujudan Unit Penyelidikan Teknologi Pengetahuan di UMS, saya percaya UMS mempunyai kredibiliti untuk memimpin penyelidikan dan aktiviti berkaitan sains data dan teknologi pengetahuan,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian persidangan pagi tadi.

Beliau berharap melalui persidangan tersebut lebih ramai penyelidik akan melibatkan penyelidikan mereka dengan masyarakat agar sains dan teknologi komputer boleh dimanfaatkan bersama.

Sementara itu, Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS, Profesor Ag Asri Ag Ibrahim berkata, persidangan ini amat penting dalam menuju ke arah Industri 4.0.

“Pada tahun 2017, laporan menunjukkan 7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah hasil produk dan perkhidmatan yang menggunakan  teknologi digital seperti pengkomputeran awam dan Kepintaran Buatan dan dijangkakan pertumbuhan ini akan menjadi lebih tinggi,” katanya kepada pemberita.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, Jenifer Lasimbang; Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS, Dr Ag Asri Ag Ibrahim dan Ketua Unit Penyelidikan Teknologi Ilmu, UMS merangkap Pengerusi Seminar, Professor Dr Rayner Alfred; Wakil Japan Institute of Science and Technology, Japan, Prof Dr Yuto Lim dan wakil Lincoln Univesity, New Zealand, Dr Patricia Anthony.

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda