Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Rukun Negara Dalam Diri Generasi Y

By 9 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan & Foto Oleh : Jamilah Sulaiman Nasution / Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Seremban)

SEREMBAN, 9 Ogos (Malaysiaaktif) –  Semangat patriotisme bukan sahaja penting untuk mempertahan kedaulatan dan kemerdekaan tanah air tetapi juga menjadi obor dan pendorong untuk rakyat terus berusaha gigih membangun dan memajukan negara ini, terutama dalam menjayakan agenda yang dibawa oleh kepemimpinan negara yang silih berganti.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, menekankan kepentingan semangat patriotism khususnya dalam diri orang muda kerana mereka memainkan peranan penting untuk memajukan negara pada masa hadapan.

“Kemajuan serta pencapaian Malaysia dalam konteks pembinaan negara bangsa telah wujud dengan semangat perpaduan dan kerjasama antara kaum pada masa kini.  Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar pula perlu menjadi tanggungjawab dalam diri setiap rakyat Malaysia terutama generasi Y,” kata Zulkefly ketika Majlis Penutupan Pertandingan Sketsa Peringkat Daerah Seremban 2018 di SMK Dato’ Klana Putra Lenggeng, di sini semalam.

“Pertandingan Sketsa Rukun Negara ini mampu menyemai semangat cintakan negara dalam diri kalangan pelajar melalui pendekatan yang berbeza iaitu lakonan, nyanyian, bersajak dan sebagainya. Rasa cintakan negara dalam kalangan para pelajar yang timbul melalui pemahaman terhadap lima teras Rukun Negara ini akan menjadikan mereka merasa bertanggungjawab untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang sama ada sosial, ekonomi, politik, agama, budaya atau pendidikan serta bersedia untuk mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar,” tambahnya.

Sesi fotografi bersama Johan Pertandingan.

Sesi fotografi bersama Johan Pertandingan.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Sabaruddin Yeop Hamza menyeru generasi Y untuk terus memupuk perpaduan tidak mengira bangsa. Semangat cinta negara mesti dipupuk sejak di bangku sekolah lagi dan disuburkan dalam jiwa rakyat secara berterusan.

“Dalam bulan kemerdekaan inilah kita seharusnya mengimbas kembali segala usaha yang dilakukan pimimpin terdahulu untuk membina negara serta cabaran-cabaran yang dihadapi supaya kita terus memperbaharui iltizam untuk membina sebuah negara yang harmoni dan maju,” katanya.

SMK Dato’ Klana Putra, Lenggeng selaku tuan rumah telah menjuarai Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Daerah Seremban 2018 dan akan mewakili daerah Seremban ke peringkat negeri kelak.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang menjadikan SMK Dato Klana Putra sebagai salah satu tempat persinggahan turut merasa kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pelajar dalam pertandingan berkenaan.

-KN

Tinggalkan komen anda