
Laporan: Wee Kim Been Foto: Azmee Mohamed Noor (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina (C) Chung Cheng dan SMJK (C) Chung Hwa, Kota Bharu bekerjasama mewarnai Sambutan Bulan Kebangsaan 2018 dengan begitu meriah.
Menurut Pengetua SMJK (C) Chung Hwa, Lim Jit Hun, 57, antara intipati yang telah digarapkan dalam menjayakan sambutan Bulan Kebangsaan 2018, iaitu dengan menterjemahkan semangat patriotik dalam kalangan para pelajar melalui seni kebudayaan pelbagai kaum di negara ini.
“Antaranya yang disajikan persembahan tarian, nyanyian lagu patriotik, deklamasi sajak, peragaan pakaian pelbagai kaum yang terdapat di negara ini.
“Aktiviti seperti ini pastinya dapat dibentuk serta dipupuk sejak dari kecil lagi dalam menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada negara Malaysia,” katanya yang ditemui semalam.
Sementara itu, seorang guru SMJK (C) Chung Cheng, Wan Siti Nor Aishah Wan Salim 38, berpendapat warna-warni Sambutan Bulan Kebangsaan yang dilaksanakan dengan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ ini pasti dapat memupuk sahsiah jati diri.
“Nilai-nilai murni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dapat diamalkan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Gan May Yee, 14, berpendapat Sambutan Bulan Kebangsaan ini begitu bermakna kepadanya sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, budaya, adat resam dan bebas mengamalkan budaya ini dalam keadaan aman dan harmoni.
Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini telah diterjemahkan melalui aktiviti yang berlandaskan kepada amalan demokrasi berparlimen serta Wacana Merdeka melalui anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu.