
Laporan oleh: Abd. Naddin Shaiddin/Foto: Azman Jumat(Sabah)
KOTA KINABALU, 26 Sept (Malaysiaaktif) – Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) akan mengadakan Kempen Derma Darah Peringkat Kebangsaan Sempena Hari Penderma Darah Sedunia pada 29 dan 30 September ini.
Pengerusi penganjur, Datuk Eva Susau berkata kempen derma darah itu juga diadakan bersempena Bulan Kebajikan Peringkat Negeri 2018 di mana pada hari pertama pelancarannya akan disempurnakan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat,Stephen Wong Tien Fatt.
Orang ramai dipelawa tampil menderma di Kompleks Membeli belah Suria Sabah bermula jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam bagi membantu mereka yang memerlukan darah untuk menyambung hayat kehidupan yang terancam akibat pelbagai masalah kesihatan.
Eva berharap kempen yang diadakan memberi impak positif dalam usaha menyedarkan orang ramai menyokong dan menderma darah serta dapat mempertingkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kepentingan menderma .
Sebanyak 500 pint darah diharap dapat dikumpulkan dalam kempen selama dua hari itu, katanya dalam sidang media di pejabat BSMM Likas, pada Isnin.
Selain Sazarice yang menjadi penaja utama dengan menyumbang 500 kilogram beras kepada 500 penderma, penaja lain yang turut serta ialah Restoran KFC, Vico, Indocafe dan Kompleks Membeli Belah Suria Sabah.
Hari ke dua kempen tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Program darah, HIV, Aids dan Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan , Dr Haji Seri Buana Zainudin dan akan diserikan dengan persembahan khas oleh Kumpulan Evergreen Country Band.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi BSMM Negeri Sabah, Asnan Yunus Chung; Setiausaha Kehormat BSMM Negeri, Elizabeth Chin Sikayun, Pengerusi penganjur derma darah, Leslie Chan; ahli jawatankuasa dan penaja Bulan Sabit.
-FB