Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Orang Ramai Dijemput Meriahkan Sambutan Hari Malaysia

By 6 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Asmidar Zainol

 

Kota Kinabalu, 6 Sept (Malaysiaaktif) –  Orang ramai dijemput memeriahkan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 September ini.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018, Datuk Peter Anthony berkata, pelbagai acara dan pengisian telah dirancang bagi memeriahkan sambutan berkenaan.

Datuk Peter Anthony

Datuk Peter Anthony

“Kita menjangkakan lebih 10 ribu pengunjung akan memeriahkan sambutan yang bermula pada jam 7 malam dan dijangka selesai pada pukul 12.00 malam.

“Antara pengisian yang dirancang adalah amanat dan perasmian sambutan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad serta acara menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia 2018 sebagai simbolik kepada penubuhan Malaysia pada 1963 oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.

“Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk RM Jasni juga akan turut menyerikan majlis dengan upacara memotong kek Hari Malaysia 2018,” ujarnya.

Tambah Peter, acara kemuncak sambutan adalah perarakan masuk dan penyerahan Jalur Gemilang oleh konvoi Kembara Merdeka, Sayangi Malaysiaku’ oleh anggota Jabatan Penerangan Malaysia kepada Tun Mahathir dan seterusnya diserahkan kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk Upacara Menaikkan Jalur Gemilang.

Ia adalah simbolik acara konvoi Kembara Merdeka yang telah dilancarkan pada 4 Ogos lepas oleh Tun Mahathir semasa Sambutan Hari Kebangsaan di Pulau Pinang dan merentasi seluruh negara dan berakhir di Kota Kinabalu.

“Turut berlangsung persembahan tarian, Malaysia Harmoni, Warna-warna Malaysia dan Malaysia Baru oleh 800 pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah serta ahli persatuan-persatuan kesenian tempatan yang mana tarian-tarian ini dikelolakan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

“Selesai acara rasmi, para pengunjung yang akan hadir akan dihiburkan dengan persembahan artis-artis tempatan yang turut disiarkan secara langsung di RTM1,” jelas beliau.

Selain Tun Mahathir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anuar Ibrahim serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Malaysia 2018, Gobind Singh Deo juga akan menghadiri sambutan berkenaan.

 

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda