
Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Sabah)
PUTATAN, 6 Sept (Malaysiaaktif)- Ahli Parlimen P.173 Putatan, Awang Husaini Datuk Sahari berkata program merakyatkan badan beruniform Bulan Sabit Merah di kalangan masyarakat mampu menggalakkan mereka turut serta dalam aktiviti yang memberi manfaat seperti menyelamatkan nyawa.
“Jika semakin ramai yang mempunyai pengetahuan mengendalikan saat kecemasan, ia sesuatu yang bermanfaat untuk rakyat keseluruhannya,” ujar Husaini selepas Kunjungan Hormat Bulan Sabit Merah Cabang Putatan di pejabatnya pada petang Rabu.
Tambahnya, First Aider In Every Home merupakan antara segmen dalam merakyatkan badan beruniform di mana di dalam setiap rumah sekurang-kurangnya mempunyai seorang ahli yang menyertai persatuan BSMM dan berperanan memberikan pengetahuan kepada isi rumah.
Katanya juga, selain memberi pengetahuan, ahli tersebut sekurang-kurangnya tahu langkah-langkah yang perlu diambil jika berlaku kecemasan ataupun merawat luka kerana setiap rumah perlu ada seorang Doktor.
Husaini juga turut merancang untuk menubuhkan sebuah Kompleks khas untuk menempatkan semua badan beruniform yang ada di Parlimen Putatan.
“Sebenarnya terlintas di fikiran saya untuk menubuhkan sebuah kompleks apabila membuat lawatan tempat ke tapak kepunyaan Majlis Daerah dan Kerajaan Negeri.
“Saya akan cuba untuk mencadangkan tapak yang sesuai untuk dijadikan pejabat, jika kita dapat realisasikan cadangan ini, pasti setiap persatuan akan mempunyai tadbir urus yang baik.
“Mereka boleh jadikan pejabat tersebut sebagai pusat aduan atau pusat panggilan kecemasan,”katanya.
Dalam kunjungan hormat tersebut, Husaini turut mengumumkan pemberian dana bantuan awal pentadbiran BSMM daerah sebanyak RM1000 dan bersedia untuk memberi bantuan dana untuk aktiviti-aktiviti yang dirancang pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengerusi BSMM Daerah, Nanih Abah turut berbesar hati apabila Husaini menerima pelantikan sebagai Penasihat BSMM Daerah Putatan.
“Saya berasa gembira kerana ahli Parlimen sudi menerima pelantikan sebagai penasihat dan kami mengharapakan persatuan kami akan lebih mantap dan maju dengan penglibatan beliau.
“Kami berharap kedua-dua pihak akan dapat menjalinkan kerjasama dan kami sentiasa bersedia menghulurkan bantuan keselamatan atau kecemasan kepada sesiapa juga tidak mengira warna kulit, bangsa dan agama,”katanya.