Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Suami Isteri Cekal Tubuh Rumah Anak Yatim

By 13 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Idris Sani Saberun/ Foto: Johnny Joklis(Sabah)

 

RANAU, 13 Sept (Malaysiaaktif) – Sepasang suami isteri cekal menubuhkan sebuah rumah anak yatim (RAY) bagi memberi perlindungan dan kasih sayang kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf yang memerlukan di sekitar daerah Ranau.

SUMBANGAN YNJ...Toh Puan (dua dari kiri) menyampaikan cek kepada Murni (dua dari kanan) sambil diperhatikan Suryani (kiri) dan Hainin (kanan).

SUMBANGAN YNJ…Toh Puan (dua dari kiri) menyampaikan cek kepada Murni (dua dari kanan) sambil diperhatikan Suryani (kiri) dan Hainin (kanan).

Pengurus RAY Kampung Langsat Ranau, Mohd. Hainin Abdullah, 54 tahun, berkata, awal pembinaan bangunan RAY pada 10 Februari 2015 hanya dengan keluasan lantai berukuran 1,600 kaki per segi sahaja.

“Ia dibina di atas sebidang tanah (dua ekar) yang dibeli pada harga RM15,000 dan memakan masa selama tujuh bulan untuk disiapkan.

“Pada 27 Julai 2015, kami memulakan operasi  dengan memberi perlindungan kepada sembilan orang anak-anak yatim dan kini meningkat kepada 41 orang yang terdiri daripada 25 lelaki dan 16 perempuan.

“Bagi menampung jumlah ini, dua buah rumah digunakan sebagai asrama dan sebuah lagi untuk urusan pentadbiran dan kelas pembelajaran,” jelasnya,

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat sempena lawatan rombongan Yayasan Nur Jauhar (YNJ) dan Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri Sabah (Perwisa) di sini, pada petang Rabu.

Sementara itu, isteri kepada Hainin, Murni Mohd. Rusdi, 27 tahun, yang bertanggungjawab sebagai ketua pendidik RAY tersebut berkata,  setakat ini seramai sembilan orang kakitangan bertugas dalam mengurus aktiviti harian anak-anak di RAY tersebut dengan kos operasi sebanyak RM7,000 sebulan.

“Kebanyakan kos operasi ini ditampung melalui sumbangan orang perseorangan dan masjid-masjid sekitar pekan Ranau dan kos perbelanjaan dijangka meningkat pada tahun berikutnya.

Toh Puan (kiri) dan Suryani (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Murni (dua dari kanan) dan Hainin (tengah) ketika melawat asrama RAY tersebut.

Toh Puan (kiri) dan Suryani (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Murni (dua dari kanan) dan Hainin (tengah) ketika melawat asrama RAY tersebut.

“Kami berharap dengan adanya lawatan sebegini, akan ada lagi agensi yang sudi memberikan sumbangan dalam pelbagai aspek agar RAY dapat terus berbakti dalam membantu memberi pendidikan dan perlindungan yang terbaik kepada anak-anak yatim ini.

“Walaupun RAY ini tidak sebaik dan sesempurna di tempat lain, namun kesemua anak-anak yang menghuni rumah ini diajar untuk berdikari dan bersyukur dengan apa yang ada,” katanya.

Pada majlis tersebut, Penasihat YNJ yang juga isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Dr. Norlidah Tan Sri RM Jasni menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pihak pengurusan RAY Kampung Langsat.

Salah seorang anak yatim menerima sumbangan peribadi dan kelengkapan harian daripada Toh Puan (tiga dari kiri) dan Suryani (dua dari kiri).

Salah seorang anak yatim menerima sumbangan peribadi dan kelengkapan harian daripada Toh Puan (tiga dari kiri) dan Suryani (dua dari kiri).

Dalam pada itu, Toh Puan dan Yang Dipertua Perwisa iaitu isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Suryani Shuaib serta rombongan turut meluangkan masa beramah mesra dan menyampaikan sumbangan peribadi berupa wang tunai dan kelengkapan peribadi kepada anak-anak yatim di rumah tersebut.

Turut hadir, Pegawai Daerah Ranau, Faimin Kamin serta Pegawai Pelajaran Daerah Ranau, Siti Hamni Hashim.

 

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda