Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeNegeri Sembilan

Anwar Ibrahim Menang PRK Port Dickson

By 14 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/ foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/ Mohd Khairulnizam Mohd Yunus

PORT DICKSON, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Calon Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih 31,016 undi dan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi.

Anwar berjaya menewaskan calon PAS, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dengan 7,456 undi dan lima calon Bebas yang lain iaitu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230 undi) Stevie Chan (337 undi), Lau Seck Yan (214 undi), Kan Chee Yeung (154 undi) dan Mohd Saiful Bukhari Azlan (82 undi).

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Port Dickson, Khairy Maamor di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, malam tadi.

Khairy turut mengumumkan sebanyak 58.2 peratus daripada 68,317 pengundi berdaftar telah keluar mengundi dan sebanyak 598 kertas undi telah ditolak.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, sepanjang perjalanan PRK ini tiada sebarang insiden besar yang berlaku kecuali pertikaian tentang peraturan aktiviti berkempen.

Ulasnya, pertikaian ini berlaku kerana peraturan berkempen yang kurang jelas dan kemas. Maka dengan itu, dalam agenda reformasi SPR, pihaknya akan memberikan tumpuan dalam memperjelaskan isu ini supaya tidak lagi menjadi persoalan pada masa akan datang.WhatsApp Image 2018-10-14 at 10.09.51 AM

Mengulas lanjut mengenai peratusan keluar mengundi, beliau berpandangan 70 peratus jangkaan keluar mengundi yang ditetapkan oleh pihak SPR agak tersasar berbanding peratusan sebenar keluar mengundi hari ini (semalam) iaitu 58.25 peratus.

“Tetapi, saya rasa peratusan ini adalah jauh lebih tinggi daripada tiga PRK sebelum ini di Sungai Kandis (49 peratus), Seri Setia (44 peratus) dan Balakong (43 peratus).

“Kita tidak boleh menjangkakan trend peratusan keluar mengundi bawah 60 peratus ini akan berterusan sekiranya berlaku PRK yang lain kerana tempoh PRU dan PRK yang hampir menjadi faktor dalam peratusan keluar mengundi”, katanya kepada media.

“Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak SPR termasuklah melalui sosial media, iklan dan kerjasama dengan hebahan unit bergerak Jabatan Penerangan untuk menyeru pengundi keluar, tetapi, sekiranya tempoh sesuatu pilihan raya itu hampir maka peratusan keluar mengundi ini akan menjadi rendah daripada apa yang disasarkan.

Beliau melahirkan rasa berpuas hati dengan perjalanan proses PRK kali ini, tetapi pihaknya akan meneliti kembali pelbagai aspek yang perlu diperkemaskan agar semua pihak memahami peraturan dan proses pilihan raya tersebut.

PRK Port Dickson menyaksikan pertembungan tujuh penjuru apabila penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen pada 12 September yang lalu.

Proses pengundian berjalan dengan lancar di 32 pusat pengundian dengan 169 saluran tanpa berlaku sebarang insiden dan provokasi daripada penyokong parti yang bertanding.

 

-KN

Tinggalkan komen anda