Skip to main content
HomePutrajaya

Bapa Kemerdekaan Guna ‘Kad Beras’

By 5 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Eparizan Mansor/Jabatan Pendaftaran Negara (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 5 Okt 2018 (Malaysiaaktif) – Kad pengenalan pertama atau ‘Kad Beras’ mencerminkan kecemerlangan negara dalam menguruskan dokumen pengenalan di negara ini secara sistematik sejak 7 dekad yang lalu.

‘Kad Beras’ selaku kad pengenalan identiti digunapakai oleh Bapa Kemerdekaan dan dikeluarkan secara sistematik kepada orang awam secara teratur bermula 1 Oktober 1948.

Sehingga kini, 1 Oktober setiap tahun dijadikan sebagai aras kecemerlangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pengiktirafan sebagai Hari Pendaftaran Negara (HPN) kerana kad pengenalan pertama bernombor siri 0000001 dikeluarkan kepada Bapa Kemerdekaan Negara, YTM Tunku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid yang juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Evolusi Kad Pengenalan Warganegara

Evolusi Kad Pengenalan Warganegara

HPN juga merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan JPN dalam urusan pendaftaran, pengeluaran dan penyelenggaraan dokumen pengenalan diri semenjak tahun 1881 di mana rekod pendaftaran tertua yang ditemui setakat ini masih dalam simpanan JPN meskipun sudah terdapat proses pendaftaran penduduk sebelum itu.

‘Kad Beras’ digunapakai sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi sebagai kad pengenalan pertama bagi memudahkan pengenalan identiti di samping sebagai salah satu langkah membendung anasir komunis yang bermaharajalela di Tanah Melayu pada masa itu.

Selain itu, ‘Kad Beras’ diperkenalkan berikutan sewaktu catuan makanan pada zaman darurat pada tahun 1948 yang memerlukan bukti pengenalan diri bagi mendapatkan beras manakala kad pengenalan untuk Persekutuan Tanah Melayu telah dikeluarkan pada tahun 1960 sehinggalah Jabatan Pendaftaran Negara Tanah Melayu dibentuk bagi mentadbir akta untuk Parlimen sehingga ke hari ini.

Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah, kad pengenalan terus mengalami proses evolusi dan penambahbaikan bermula dari ‘Kad Beras’ kepada kad plastik dan kini kad pintar pelbagai guna bercip (MyKad) yang diperkenalkan sejak awal tahun 2000.” Ujar beliau dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi JPN 2018 di sini, semalam.

Mohammad Razin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri menyaksikan upacara pendaftaran perkahwinan yang dilangsungkan di JPN

Mohammad Razin (kiri) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri (dua dari kiri) menyaksikan upacara pendaftaran perkahwinan yang dilangsungkan di JPN

MyKad bercip struktur baharu menggantikan ‘Kad Beras’ dan Kad Plastik dikeluarkan dengan memberi penekanan utama ke atas penambahbaikan dari segi kualiti, ciri-ciri keselamatan dan daya tahan MyKad yang selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Mohammad Razin berkata, “saya berharap orang ramai perlulah mengambil berat berhubung dokumen rekod pengenalan diri sejak dari awal kelahiran hinggalah rekod kematian kerana ini akan menjadi rujukan utama kita sebagai rakyat Malaysia.

“Masih terdapat pemegang MyKad yang belum menukar MyKad Struktur Baru sedangkan JPN telah menyediakan perkhidmatan kaunter di 228 cawangan seluruh negara bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan” tambahnya lagi.

Sehingga kini, rekod dokumen pengenalan diri yang diuruskan JPN digunapakai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam pelbagai bidang termasuklah urusan keselamatan, perbankan, percukaian, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

EM

Tinggalkan komen anda