Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Derma 137 Pain Darah Dalam Tempoh 40 Tahun

By 1 Oktober 2018Tiada komen4 minit bacaan
Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat (Sabah)
KOTA KINABALU, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Ismail Ibrahim yang berusia 60 tahun tidak menyangka telah menderma sebanyak 137 pain darah dalam tempoh 40 tahun selepas melakukannya buat pertama kali, kerana kasihan pada rakannya yang ditimpa kemalangan.
Ismail ketika berkongsi pengalaman bersama pemberita.

Ismail ketika berkongsi pengalaman bersama pemberita.

Detik-detik cemas pada tahun 1978 itu masih segar di ingatannya apabila dia dan rakan parah ditimpa kemalangan motosikal, tetapi situasi hospital pada ketika itu mengalami kekurangan bekalan membuatkan keadaan menjadi kalut.

 

“Kemalangan itu menyebabkan tulang belakang saya teralih manakala rakan saya pula memerlukan darah tambahan, ketika itu lah timbul kesedaran mengapa saya tidak mula menderma darah supaya dapat membantu mangsa-mangsa yang memerlukan rawatan segera seperti rakan saya.

Penderma darah perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum ke proses seterusnya.

Penderma darah perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum ke proses seterusnya.

“Itu lah kali pertama saya menderma dan hingga kini sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali setahun saya pasti menderma darah,” kongsi Ismail kepada pemberita.
Menurut Ismail, rentetan daripada masalah kesihatan akibat kemalangan tersebut, dia berasa sakit dan tidak selesa justeru pemeriksaan dengan doktor memerlukannya untuk menjalani pembedahan memasukkan besi ke dalam tulang belakang agar dapat membantunya melakukan aktiviti harian dengan lebih selesa.
Doktor juga turut serta bagi memberikan khidmat nasihat kepada penderma darah.

Doktor juga turut serta bagi memberikan khidmat nasihat kepada penderma darah.

“Kos pembedahan tersebut yang dimaklumkan pada saya lebih kurang RM20 ribu, dan saya pun segera bersetuju, tetapi selepas pembedahan sudah dijalankan, saya berasa pelik kerana bil pembedahan tidak diberikan kepada saya.
“Selepas bertanya kepada pihak hospital, rupa-rupanya pembiayaan pembedahan saya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan itulah insentif yang saya peroleh kerana kesetiaan saya sebagai penderma darah,”kata Ismail yang berasal dari Kuching, Sarawak.
dif kehormat turut mengambil peluang beramah mesra dengan para penderma.

dif kehormat turut mengambil peluang beramah mesra dengan para penderma.

Kelebihan menderma darah juga, Ismail akui tidak menghidap sebarang penyakit serangkai seperti yang sering dialami individu seusianya, kerana selain memastikan waktu tidurnya cukup, dia juga mengawal kuantiti pengambilan makanan walaupun tidak pernah berpantang dengan apa jua jenis makanan.
Ismail ditemui selepas menerima Anugerah Kutipan Darah Terbanyak 2017 Kategori Individu pada Majlis Pelancaran Kempen Derma Darah Peringkat Kebangsaan 2018 sempena Sambutan Bulan Kebajikan Negeri Sabah 2018 pada Ahad.
Dari kiri: Leslie, Joanne, Asnan, Seri Buana, Sitiameh dan William ketika gimik pelancaran.

Dari kiri: Leslie, Joanne, Asnan, Seri Buana, Sitiameh dan William ketika gimik pelancaran.

Majlis tersebut dirasmikan oleh pengerusi Jawatankuasa Program Darah, HIV/AIDS dan Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan, Dr. Seri Buana Zainudin yang turut dihadiri oleh Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah, Asnan Yunus Chung.
Dalam pada itu, Seri Buana dalam ucapannya berkata tema tahun ini, ‘Be There For Someone Else, Give Blood, Share Life” memfokuskan kepada pendermaan darah sebagai medium memupuk perpaduan dan menyemai nilai-nilai murni dalam masyarakat yang sentiasa memberi sokongan menyumbang darah secara sukarela tanpa dibayar.
“Dengan adanya program sebeginilah yang dapat melahirkan perasaan belas kasihan, kemurahan hati dan kebaikan dalam diri individu khususnya penderma darah.
BSMM Sabah tidak melepasan peluang merakamkan kenangan bersama Seri Buana.

BSMM Sabah tidak melepasan peluang merakamkan kenangan bersama Seri Buana.

“Semenjak penubuhannya, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) telah mengambil inisiatif untuk membantu Pusat Darah Negara (PDN), Negeri dan daerah dalam merekrut penderma-penderma baharu bagi menampung keperluan darah negara yang semakin kritikal,”katanya.
Tambahnya, Kerjasama yang terjalin di antara BSMM dan PDN, Negeri dan daerah di sepanjang kempen dapat memberi jaminan, transfusi darah yang dijalankan bersih dan berkualiti dan selamat digunakan.
“Keselamatan dan kebersihan darah amat dititik beratkan memandangkan sejak tahun-tahun kebelakangan ini masalah jangkitan seperti HIV, H1N1, Hepatitis A, B dan C semakin meningkat di negara ini.
Seri Buana merakamkan kenangan bersama penerima-penerima anugerah

Seri Buana merakamkan kenangan bersama penerima-penerima anugerah

“Pelancaran kempen derma darah ini diharapkan dapat memberi kesedaran akan kepentingan tanggungjawab sebagai penderma dan juga dapat menggalakkan lebih ramai individu menjadi penderma darah secara tetap.
“Bukan itu sahaja, kempen ini dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia juga merupakan hari untuk meraikan para penderma yang begitu ikhlas menderma tanpa mengharapkan sebarang ganjaran di samping menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka,”jelasnya.
Selain kategori Individu, Kutipan Darah Terbanyak bagi Kategori Negeri dimenangi Sarawak dengan kutipan sebanyak 38,624 pain darah, manakala bagi kategori daerah pula dimenangi oleh Kuching dengan kutipan sebanyak 22,332 pain dan The Federation of Kuching & Samarahan Division Chinese Association & Youth Section memenangi kategori Swasta sebanyak 2,847 pain kutipan.
Penaja dari Sazarice yang menaja sebanyak 500 kilogram beras.

Penaja dari Sazarice yang menaja sebanyak 500 kilogram beras.

Pihak penaja yang menerima sijil penghargaan pula ialah Sazarice Sdn Bhd, Indocafe, Vico, Kentucky Fried Chicken dan Evergreen Country Band.
Hadir Sama, Pengerusi Penganjur Pesta Kebajikan Negeri Sabah, Datuk Eva Susau; Penasihat BSMM Sabah, Datuk William J Chai; Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Dr. Tan Bee Hwai; Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Am Sabah, Sitiameh Ruman dan Pengerusi Penganjur Hari Pelancaran Kempen Derma Darah Seluruh Dunia Peringkat Kebangsaan, Leslie Chan Boon Siang.
-FB

Tinggalkan komen anda