Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedahPutrajaya

Gerai Laksa Kebok Boleh Beroperasi Dengan Syarat

By 24 Oktober 2018Tiada komen1 minit bacaan

 

SUNGAI PETANI, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan melakukan pemeriksaan semula ke atas premis memproses laksa kebok di Kupang, Baling dekat sini bagi memastikan pengusaha gerai mematuhi semua teguran yang dibuat termasuk berkaitan proses penyediaan makanan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, pemeriksaan tersebut akan dilakukan oleh pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Baling dalam masa terdekat.

“Sekiranya pihak pejabat kesihatan daerah berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh pengusaha, maka pengusaha akan dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi penguatkuasaan berhubung penjualan minuman beralkohol di sebuah kedai ubat di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya bersama pejabat kesihatan daerah terbabit akan melengkapkan kertas siasatan kes mengikut prosedur ditetapkan.

Pada Ahad lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan agen penyebab keracunan makanan laksa itu berpunca daripada bakteria ‘salmonella enterica serovar weltevreden’.

Sebanyak 83 kes keracunan makanan dengan dua kematian dilaporkan berlaku di Kedah, Perak dan Selangor.- K! ONLINE

-ER

Tinggalkan komen anda