Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

JKJR dan MIROS Menangi Anugerah Prince Michael di London

By 12 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 12 Dis (Malaysiaaktif) – Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) memenangi anugerah Prince Michael International Road Safety Awards bagi Projek Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) melalui inisiatif JKJR dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan JKJR, anugerah berprestij ini merupakan pengiktirafan awam terhadap pencapaian dan inovasi cemerlang pada peringkat antarabangsa.

“Panel juri memberi penghargaan tersebut kepada JKJR dan MIROS di atas kejayaan inisiatif Projek Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia yang berjaya mengintegrasikan modul keselamatan jalan raya ke dalam Kurikulum Sekolah Rendah Malaysia.

“Projek ini merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 dengan matlamat untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

“Pihak JKJR dan MIROS berbangga untuk menerima anugerah ini dan sangat berterima kasih kepada His Royal Highness Prince Michael of Kent dan panel juri di atas pengiktirafan projek ini,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut JKJR, anugerah ini akan memperkukuhkan lagi pelaksanaan PKJR di sekolah rendah bagi memastikan keselamatan jalan raya menjadi budaya dalam kalangan warga Malaysia seterusnya membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“PKJR juga sudah mula dilaksanakan kepada sekolah menengah rendah dan akan dilanjutkan pelaksanaannya ke peringkat taska dan pra-sekolah pada tahun 2020 dan seterusnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Rosli Isa, bersama-sama Pengarah Pusat Penyelidikan Perubahan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya MIROS Dr. Low Suet Fin, menerima anugerah tersebut di The Savoy, London, United Kingdom, malam tadi.

-SH

Tinggalkan komen anda