
Laporan/foto: Salwa Razak (Padang Terap)
KUALA NERANG, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Sesi persekolahan 2019 bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi dan ibu bapa makin sibuk menyiapkan persiapan sekolah anak-anak, dan bagi keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah, sudah pasti akan merasai kos yang tinggi untuk ditanggung demi menyediakan persiapan persekolahan anak-anak mereka.
Kesusahan yang dirasai ini mendapat perhatian kerajaan dengan menghulurkan sumbangan sebanyak RM 150.00 seorang kepada pelajar daripada keluarga golongan B40 di daerah Padang Terap.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 222 orang pelajar terpilih dalam daerah Padang Terap.
Amiruddin menyatakan kerajaan amat memahami situasi yang ditanggung oleh golongan B40 ini, maka pelbagai usaha dilaksanakan dalam meringankan bebanan mereka.
“Kerajaan juga akan menyalurkan bantuan persekolahan RM 100.00 yang akan diberikan kepada pelajar sekolah dari tahun satu hingga tingkatan lima pada awal Januari 2019. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk pelajar membeli peralatan tambahan sekolah serta bayaran tertentu diawal persekolahan,” ujarnya di sini semalam.
Program Back To School ini dihadiri oleh ramai ibu bapa yang menyatakan rasa syukur kerana terpilih sebagai penerima sumbangan.
Badariah Ahmad, 43, amat bersyukur kerana anaknya terpilih untuk menerima sumbangan ini dan baginya sumbangan ini amat membantu tatkala menjelang sesi persekolahan yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Sumbangan RM150.00 amat bermakna bagi saya sebagai seorang ibu tunggal yang terpaksa menyara lima orang anak yang masih bersekolah,” ujarnya.