
Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis (Langkawi)
LANGKAWI, 1 Jan (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyeru kepada pelajar agar menimba ilmu sebanyak mungkin supaya ilmu yang diperolehi dapat diguna pakai demi kebaikan pada masa hadapan.
“Islam sendiri menyuruh umatnya untuk membaca. Untuk memperolehi ilmu yang banyak dan meluas kita seharusnya membaca pelbagai jenis buku tidak kira dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.
“Bacalah berkali-kali supaya setiap isi buku terlekat di minda kita dan dapat menjadi panduan kita pada masa akan datang,” ujarnya ketika merasmikan majlis Back to School di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, di sini hari ini.
Menurut Mahathir, kerajaan akan terus berusaha mewujudkan sekolah dan menyediakan guru-guru terlatih dalam memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan sewajarnya.
“Saya berharap agar anak-anak ini akan menghabiskan masa di sekolah bermula hari ini untuk mengejar ilmu yang baik dan berjaya pada masa hadapan,” katanya yang turut menyampaikan bantuan kepada 226 orang pelajar seluruh daerah Langkawi meliputi 28 buah sekolah kebangsaan dan sekolah menengah.
Program anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Bank Muamalat, merupakan program penyerahan bantuan awal persekolahan kepada mereka yang kurang berkemampuan seperti beg, peralatan sekolah serta baucer tunai sebanyak RM120.
S.Ukiswaran murid tahun lima dari Sekolah Jenis Kebangsaan SJK(T) Ladang Sungai Raya merasa gembira dengan bantuan ini.
“Saya seronok dapat beg baharu dan alatan sekolah yang lain, abang saya pun dapat jugak,” ujarnya yang mempunyai saudara kembar (S.Ugeswaran) yang turut belajar di sekolah yang sama.