Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Tiada Diskriminasi Oleh Kerajaan Selangor

By 22 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Semua kaum di Selangor akan dilayan secara adil seperti yang terkandung dalam Perlembagaan dan undang-undang negara, demikian tegas Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan Selangor, kita adalah kerajaan yang akan menjamin keadilan kepada semua selagi berpayung di bawah perlembagaan nasional,” katanya.

Menurut Amirudin, kerajaan sentiasa berusaha membantu masyarakat semua kaum dan agama mengikut keperluan dan keutamaan masing-masing.

“Sejak 2008, kerajaan Selangor berjaya menganjurkan sambutan Thaipusam setiap tahun dan tidak diganggu gugat walaupun berlaku pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Jelas beliau, Selangor merupakan negeri pertama yang menyediakan peruntukan khusus untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), termasuk tambang bas dan yuran persekolahan.

“Kita membantu bukan untuk menyedapkan hati sahaja, tetapi kerajaan negeri komited membantu masyarakat India maju bersama kaum lain dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

“Peruntukan berjumlah RM1 juta disediakan kerajaan Selangor untuk membantu usahawan-usahawan kaum India sejak dua tahun lalu, ianya dinaikkan kepada RM3 juta pada tahun 2018,” jelasnya.

Tambah Amirudin, kerajaan negeri belajar daripada kesilapan pentadbiran kerajaan terdahulu yang meminggirkan rakyat miskin tanpa pembelaan.

“Kerajaan PH belajar daripada sejarah lampau dan tidak akan mengulangi kesilapan sama, malah kita jamin semua rakyat duduk seimbang dalam keadaan aman, bahagia dan sentosa,” katanya.

Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil kuil sempena sambutan Thaipusam peringkat negeri Selangor di Batu Caves, semalam.

Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil kuil sempena sambutan Thaipusam peringkat negeri Selangor di Batu Caves, semalam.

Jelas beliau lagi, sejak 2008 sehingga Disember 2018 kerajaan negeri telah membelanjakan RM3.2 bilion dalam bentuk bantuan bermula usia kelahiran bayi hingga meninggal dunia sebagai tanda terima kasih kepada rakyat.

“Dulu ada yang beranggapan jika diberikan bantuan dan subsidi negeri akan bankrap tetapi Selangor bertambah kaya kerana mendapat keberkatan dan rahmat membantu rakyat khususnya mereka yang susah.

“Kita berkongsi kekayaan dan kemajuan untuk rakyat semua kaum di Selangor,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan Thaipusam peringkat negeri Selangor di perkarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini semalam.

Di majlis tersebut, Amirudin menyampaikan sumbangan berjumlah RM300,000 untuk 30 buah kuil seluruh Selangor dan bantuan Hadiah Masuk Universiti kepada 26 orang pelajar.

Turut hadir, EXCO Selangor, V. Ganabatirau; ADUN Rawang, Chua Wei Kiat; ADUN Sentosa, Gunaraj George; Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim dan Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abdul Rahman.

-NAZ

Tinggalkan komen anda