Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Zamrose Adakan Kunjungan Hormat Terhadap Tun Juhar

By 9 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Asmidar Zainol/Marusin Minuddin(Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Panglima Medan Timur Tentera Darat, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahirudin di istana negeri pada Isnin.

Zamrose yang ditemui media berkata, tujuan kunjungan hormat tersebut adalah bagi memperkenalkan diri dan membincangkan isu-isu keselamatan di negeri ini.

“Saya memegang jawatan ini daripada mantan Panglima Medan Timur iaitu, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw selepas beliau menamatkan perkhidmatan pada 2 November lalu.

“Dalam kunjungan hormat ini, saya turut memperkenalkan pemerintah-pemerintah formasi Tentera Darat (TD) baharu kepada Tun Juhar selain mendapatkan nasihat serta isu-isu keselamatan di negeri Sabah.

Zamrose (kiri) berbual mesra dengan Tun Juhar (kanan)

Zamrose (kiri) berbual mesra dengan Tun Juhar (kanan)

“Diharapkan, kunjungan ini juga dapat mengeratkan lagi silaturahim di antara ATM dengan kerajaan negeri,”ujarnya.

Dalam pada itu, Zamrose juga berkata, pihak ATM memberikan tumpuan keselamatan di kawasan timur negeri ini.

“Kerajaan telah mewujudkan pelbagai organisasi untuk menguatkan keselamatan di Timur Sabah, antaranya dengan mewujudkan Angkatan Petugas 450, 13 Briged ESSCOM, 5 Briged dan Markas-markas ATM serta Angkatan Tugas Bersama yang mana ketiga-tiga markas bergabung untuk meningkatkan keselamatan negeri ini khususnya di kawasan Timur Sabah,” kongsinya kepada media.

Untuk rekod, Zamrose telah berkhidmat selama 38 tahun dalam ATM dan telah berkhidmat sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota di Markas ATM menguruskan hal ehwal anggota tentera serta bertanggungjawab menjaga kebajikan anggota tentera Malaysia sebelum dinaikkan pangkat.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut adalah Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 13 Briged ESSCOM, Brigadier Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Panglima Angkatan Petugas 450, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah.

 

EM

 

Tinggalkan komen anda