
Laporan oleh Sharman Subramaniam / Foto oleh Raba’ayah
SEMENYIH, 18 Feb (Malaysiaktif) – “Sejak dari tahun 2008, kerajaan negeri terus bertekad untuk membantu rakyat negeri Selangor” kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Penyampaian Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan Penyampaian Geran Tanah di Dewan Orang Ramai Semenyih, pada 15 Februari lepas.
“Selangor adalah negeri yang paling kaya dan ke hadapan di Malaysia. Sejak tahun 2008, kerajaan negeri dapat menggandakan pendapatan pasir sehingga RM15 juta ke RM24 juta dan mengikut rekod tahun-tahun sebelum ini kita berjaya meningkatkan angka pendapatan sehingga RM80 juta ke RM90 juta setahun. Dan ini membuktikan pentadbiran kerajaan ini memberi nilai tambah kepada pendapatan”, tambah beliau.
Tambah Amirudin Lagi, “disebabkan itu, kerajaan negeri melalui program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membantu rakyatnya dengan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat, Hijrah Selangor, Bantuan Persekolahan dan banyak lagi”.
Amirudin hari ini telah menyempurnakan penyampaian Penyerahan Geran Tanah kepada 11 orang penerima dan turut menyampaikan Bantuan Ehsan Bencana kepada 6 orang penerima. Beliau turut menyampaikan bantuan Skim Mesra Usia Emas kepada 9 orang penerima, Skim Hijrah kepada 26 orang penerima dan akhir sekali Skim Peduli Sihat kepada 3 orang penerima.
Salah seorang penerima geran tanah, Mohd Ajun @ Abdul Jaliul Musa, 76, meluahkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana hasratnya untuk memiliki tanah tersebut tercapai sejak permohonannya 30 tahun lalu.
Manakala salah seorang penerima Skim Peduli Sihat, Vasanthi Savasankaran, 40, turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan permohonannya dan ianya dapat membantu dalam kos perubatan keluarganya.
Turut hadir bersama adalah Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron dan Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman.