Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePerak

Miliki Kediaman Sendiri Dengan Hanya RM200 Sebulan

By 3 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Pelapor/foto: Andi Abdul Rohim (Manjung)

SITIAWAN, 3 Feb (Malaysiaaktif) – Hasrat 50 penduduk untuk memiliki kediaman sendiri tercapai setelah menerima kunci rumah melalui program Rumah PerakKu di Taman Mohd Wazir, Batu 10 Lekir, di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata 50 unit rumah bersaiz 758 kaki persegi itu meliputi ruang tamu, ruang makan, dapur, tiga buah bilik tidur, sebuah bilik air dan sebuah tandas disiapkan hanya dalam tempoh 97 hari dengan bantuan pihak pengajar dan pelajar kolej komuniti.

Sebahagian daripada penerima kunci rumah yang hadir.

Sebahagian daripada penerima kunci rumah yang hadir.

“Jika dinilaikan sekali dengan harga tanah, nilainya dianggarkan mencecah sehingga RM160,000 namun para pembeli rumah ini bertuah kerana memiliki unit kediaman ini pada harga RM20,000 sahaja.

“Ini bermakna para pembeli hanya perlu membayar tidak lebih RM200 sebulan dalam tempoh 35 tahun,” katanya yang turut menyampaikan surat tawaran Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Sungai Tiram kepada 105 penerima.

Faizal berkata projek ini dibina di lokasi strategik kerana terletak berhampiran pelbagai kemudahan infrastruktur dan jalan utama yang menghubungkan Manjung dengan Teluk Intan.

“Ini adalah permulaan bagi projek Rumah PerakKu dalam usaha kerajaan membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri.

“Dalam tempoh 5 tahun, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 50,000 unit Rumah PerakKu di seluruh negeri,” katanya lagi.

Hasni bersyukur kerana permohonannya untuk memiliki sebuah unit kediaman menjadi kenyataan.

Hasni bersyukur kerana permohonannya untuk memiliki sebuah unit kediaman menjadi kenyataan.

Salah seorang peserta, Hasni Abdul Wahid @Ismail, 38, melahirkan kesyukuran kerana terpilih menjadi penerima kunci dalam majlis berkenaan.

Hasni yang bekerja di salah sebuah syarikat membaiki alat elektrik di Sitiawan berkata, sebelum ini dia hanya menyewa sebanyak RM250 sebulan selama 15 tahun.

“Saya cuba membeli unit perumahan lain tetapi harga rumah terlalu tinggi dan rumah PerakKu lebih berkemampuan untuk dimiliki terutamanya generasi muda,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci yang diadakan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Islahiah Addinidiah Batu 10, semalam.

-SH

Tinggalkan komen anda