Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

PRK Semenyih: 676 Keluar Mengundi Awal

By 27 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Selangor)

SEMENYIH, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 676 atau 78 peratus daripada 858 pengundi awal keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas tempoh mengundi tamat jam 5 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superitendan Mohd Sabri Abdullah berkata, jumlah keluar mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang seramai 92 atau 94.85 peratus selepas tamat tempoh pengundian jam 2 petang.

“Bagi pengundi di Batalion.4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, seramai 584 orang pengundi atau 76.74 peratus telah menunaikan tanggungjawab mereka.

“Sepanjang proses pengundian hari ini berjalan lancar dan tiada insiden yang berlaku,” katanya semasa sidang media di Balai Polis Semenyih, petang tadi.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 761 daripadanya adalah pengundi awal Batalion 4 PGA Semenyih, 97 pengundi di IPD Kajang. Jumlah tersebut tidak termasuk 93 orang pengundi pos.

Sebelum itu, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata seramai 858 pengundi awal yang akan mengundi di dua pusat mengundi iaitu di Dewan Serbaguna PGA Semenyih dan IPD Kajang. Selebihnya akan mengundi secara pos.

“Proses pengundian berjalan lancar yang akan dibuka sehingga jam 5 petang, sementara di IPD Kajang sehingga jam 2 petang sahaja,” katanya ketika ditemui ketika melawat pusat pengundian awal di Batalion 4 PGA Semenyih, di sini.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diadakan selepas kematian penyandang, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang mewakili PPBM-Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Bakhtiar menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abdul Aziz (BN), Mad Shahmiour Mad Kasim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM).

PRK DUN Semenyih yang mempunyai 54,471 pengundi merupakan PRK keempat diadakan di negeri Selangor selepas Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda