Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

52 Mangsa Ribut Di Pusat Pemindahan Batu 12 Gombak

By 29 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 52 orang mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Batu 12 Gombak, di sini susulan kejadian ribut dan pokok tumbang, petang semalam.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, lapan orang mangsa masih dirawat di hospital termasuk seorang daripadanya dilaporkan kritikal dan berada di zon merah.

Menurutnya, kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) , Bomba dan Penyelamat, Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk malakukan kerja pembersihan di kawasan terjejas akibat pokok tumbang.

“Saya turut arahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menghantar jentera dan peralatan untuk bantuan,”katanya.

Amirudin menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan menyemak bantuan-bantuan lain yang boleh disalurkan termasuk baik pulih rumah.

Amirudin meninjau keadaan Pondok Penyayang Raudhah yang musnah akibat pokok tumbang dalam kejadian ribu semalam.

Amirudin meninjau keadaan Pondok Penyayang Raudhah yang musnah akibat pokok tumbang dalam kejadian ribu semalam.

“Kita akan ukur (nilai) jenis kerosakan sama ada di tahap kecil, sederhana atau kritikal. Sekiranya kementerian ada dana, kita akan gunakan dan jika tidak mencukupi jumlahnya akan ditampung oleh kerajaan negeri.

“Pihak Jawatankuasa Bencana Daerah Gombak telah diarahkan untuk mengumpul maklumat dan data lengkap untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Tambah Amirudin, lapan buah rumah yang musnah dalam kejadian tersebut dijangka akan mengambil masa kerana perlu melengkapkan proses bancian terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, tidak begitu parah tetapi kita nak lihat secara keseluruhan. Mungkin ada kerosakan kecil akan ambil masa pendek untuk diselesaikan.

“Kejadian kali ini berbeza dengan keadaan rebut sebelum ini seperti di Kuala Selangor. Di sini kebanyakan rumah rosak disebabkan pokok tumbang, kesan kerosakan agak kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa ribut di Dewan Orang Asli Batu 12 Gombak, di sini pagi tadi.

Amirudin turut menyampaikan bantuan awal wang RM500 dan barang keperluan dapur kepada 15 keluarga mangsa.

Semalam, dalam kejadian jam 5.30 petang beberapa kawasan di sekitar Gombak terjejas akibat bencana ribut dan pokok tumbang termasuk lapan rumah asnaf yang terletak di Pondok Penyayang Raudah, Batu 11 Jalan Gombak.

-NAZ

Tinggalkan komen anda