Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Alam Sekitar Harus Dijaga Komuniti Setempat – Syed Saddiq

By 28 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Saiful Haidar Salleh (Langkawi)

LANGKAWI, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Hutan paya bakau amat penting dalam mengimbangi ekosistem bumi dan turut memberikan pelbagai faedah kepada manusia sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial.

Menyedari betapa pentingnya hutan paya bakau kepada alam sekitar, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tampil ke Langkawi untuk bersama-sama golongan belia dan komuniti setempat dalam Program Khidmat Masyarakat Cinta Alam(Projek Menanam Bakau Langkawi) di Kilim Geoforest Park, di sini.

“Kita akan pastikan program seperti ini dapat dilaksanakan oleh semua khususnya golongan belia dan perlu digerakkan oleh komuniti setempat sendiri kerana mereka tahu betapa pentingnya alam sekitar dan perlu mempertahankan alam sekitar tersebut.

“Program seperti ini perlu dimulai daripada anak muda di kawasan sekitar kerana ini melibatkan masa depan dan kalau kita sendiri tidak cintai alam ini maka sukarlah untuk kita menjaga masa depan kita,” katanya ketika berucap dalam Program Khidmat Masyarakat Cinta Alam pagi tadi.

Sementara itu, salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri Mohd Alauddin Nordin,19, berkata bakau sememangnya mampu menjadi benteng hakisan semulajadi di kawasan ini.

“Penanaman anak pokok bakau ini perlu diperluas di semua tempat, agar ia menjadi benteng kepada hakisan.

Peserta Program Khidmat Masyarat Cinta Alam bergambar kenangan bersama-sama Syed Saddiq (tengah, bertopi), di sini.

Peserta Program Khidmat Masyarat Cinta Alam bergambar kenangan bersama-sama Syed Saddiq (tengah, bertopi), di sini.

“Program ini juga boleh dikatakan sebagai altenatif memberi maklumat dan pe­­ne­rangan mengenai paya bakau kepada masyarakat supaya mereka menyedari kepentingan tanaman bakau kepada ekosistem,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta, Shahril Salleh, 39, berkata program ini merupakan salah satu projek pemuliharaan alam sekitar.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai program sebegini dan program ini mengajar saya tentang kepentingan paya bakau dan peranan masyarakat dalam memulihara alam sekitar.

Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Naimah Ismail, 36, pula memberitahu, dia teruja apabila dapat melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini.

“Hutan bakau merupakan satu ekosistem yang terletak di antara laut dan darat, ia menjadi pelindung kepada pantai daripada hakisan ombak dan melindungi persekitaran daripada perubahan cuaca yang melampau.

“Walaupun cuaca panas, namun kami teruja dan seronok. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa UiTM mengenali flora dan fauna di hutan paya bakau,” ujarnya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan, Asmirul Anuar Arif dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah.

-SH

Tinggalkan komen anda