Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

FKAT Wadah Memperkembang Keunikan Budaya Etnik

By 24 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)

TAWAU, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) wadah memelihara dan memperkembangkan keunikan budaya etnik yang ada di daerah ini.

Alijus (kanan) menyambut ketibaan Shafie (kiri) di perkarangan MPT.

Alijus (kanan) menyambut ketibaan Shafie (kiri) di perkarangan MPT.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Sipil berkata, FKAT merupakan medium perkongsian budaya, perasaan kegembiraan serta warna-warni bangsa khususnya di daerah Tawau dan negeri Sabah secara amnya yang jelas merujuk kepada perpaduan bangsa.

“Festival ini juga turut memperlihatkan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira kaum, agama, identiti, usia dan cara kehidupan sesebuah masyarakat secara menyeluruh.

Shafie (dua dari kiri) bersalaman dan beramah mesra bersama masyarakat yang turut menyambut ketibaan beliau di tapak FKAT 2019.

Shafie (dua dari kiri) bersalaman dan beramah mesra bersama masyarakat yang turut menyambut ketibaan beliau di tapak FKAT 2019.

“Melalui penganjuran FKAT yang diadakan setiap tahun adalah diharapkan generasi muda mendapat manfaat serta terus mempertahankan warisan budaya bangsa yang selama ini menjadi lambang identiti bangsa yang dihormati dan disegani untuk kita wariskan kepada generasi akan datang.

“Oleh itu, kita perlu terus memupuk dan memelihara seni budaya yang sedia ada agar ianya dapat terus kekal abadi sealiran dengan perkembangan dan pembangunan perbandaran Tawau pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Penutupan FKAT 2019 di Perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Sabtu malam.

Alijus (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Shafie (kanan) sambil disaksikan Tun Juhar (tengah).

Alijus (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Shafie (kanan) sambil disaksikan Tun Juhar (tengah).

Dalam pada itu, Alijus berpesan bahawa apa pun dasar dan program kerajaan, sama ada yang berkonsepkan kesenian dan kebudayaan ataupun pembangunan sosioekonomi, matlamat akhirnya adalah untuk kepentingan kesejahteraan dan perpaduan rakyat keseluruhannya.

Lebih 15,000 masyarakat Tawau berkumpul di Perkarangan Majlis Perbandaran Tawau bagi memeriahkan majlis penutupan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2019 yang dirasmikan Yang Di Pertua Negeri, Tun Dr Juhar Mahiruddin.

Etnik Bajau mempersembahkan tarian kebudayaan pada segmen persembahan medley tarian tradisional etnik pesisir Tawau.

Etnik Bajau mempersembahkan tarian kebudayaan pada segmen persembahan medley tarian tradisional etnik pesisir Tawau.

Festival kali ke lapan yang diilhamkan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan itu disertai oleh lebih 28 etnik di daerah itu selain turut mendapat penyertaan dari negara Thailand dan Indonesia yang memperagakan seni tarian dilengkapi dengan pakaian tradisional sambil diiringi alunan muzik asli masing-masing.

Perarakan lalu etnik Jawa yang menyertai FKAT 2019.

Perarakan lalu etnik Jawa yang menyertai FKAT 2019.

Turut hadir, Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah R.M. Jasni; Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Datuk Shuaib; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Syed Abas Syed Ali; Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jaujan Sambakong merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.

EM

Tinggalkan komen anda