
Laporan/foto : Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)
BALING, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Baling telah diadakan di Perkarangan Ibu Pejabat Polis daerah tersebut, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling Supritenden Shariffuddin Yusof berkata fasa-fasa evolusi yang dilalui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin mematangkan institusi keramat ini dalam melaksanakan fungsinya sebagai penguatkuasa undang-undang utama dan tertua negara.
“Ia diterjemahkan dalam bentuk penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan berintegriti bagi memenuhi aspirasi masyarakat,” katanya ketika menyampaikan perutusan ketua polis negara.
Shariffuddin turut menyeru masyarakat untuk mengangkat jasa serta pengorbanan para pesara dan wira-wira PDRM yang gugur demi mempertahankan keamananan dan kedaulatan tanah air.
“Sesunguhnya segala keringat dan titisan darah perjuangan mereka akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah pasukan, dan kita adalah generasi penyambung warisan dalam meneruskan perjuangan pasukan di bawah naungan panji keramat sang saka biru.
“Marilah kita memperbaharui sumpah taat setia dan janji kita untuk mempertahankan kedaulatan negara sambil menjaga kesejahteraan masyarakat dan memelihara integriti jabatan,” ujarnya lagi.
Penyelaras Parlimen Baling Mohamad Taufik Yaacob berkata polis adalah satu jabatan yang cukup penting kepada masyarakat dan negara.
“Ini menunjukan bahawasanya hubungan masyarakat dan polis amat akrab dan mereka menjaga keamanan dan keselamatan kita semua,” katanya ketika ditemui selepas acara sambutan.
Sementara itu seorang pengunjung Ahmad Tajudin Abdullah, 65, berkata sambutan hari ini cukup baik dan berjaya.
“Dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan pihak polis kita dapat memberi kerjasama untuk sama-sama mencegah jenayah,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Baling DSP Mohd Yusuf Shaari, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayu Abd Nasir Idris, serta ketua-ketua jabatan daerah Baling.