Skip to main content
HomeSelangor

Inisiatif Khas M40 Pada Mei

By 13 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)

CYBERJAYA, 13 Mac (MalaysiaAktif) – “Rangka inisiatif khas yang diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memudahkan golongan pertengahan atau lebih dikenali M40 untuk memiliki rumah dijangka siap menjelang Mei 2019 ini dan langkah berkenaan adalah bagi membantu golongan terbabit dalam menangani isu pemilikan rumah dalam keadaan semasa kini,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika sidang media selepas majlis penutup kempen global #KitaSemuaMaryam, di sini 9 Mac lepas.

Pada 7 Mac lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan akan memperkenalkan satu inisiatif atau satu skim khas bagi memudahkan golongan pertengahan atau sederhana (M40) memiliki kediaman sendiri selain fokus kepada golongan B40 sahaja.

“Pihak kami kini dalam proses meneliti bagaimana hendak membantu golongan itu dengan menyediakan rumah mampu milik berdasarkan pendapatan golongan M40 ini dan proses merangka inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama daripada beberapa agensi yang berkaitan. Oleh itu kita akan lihat bagaimana untuk membantu mereka dengan rumah mampu milik berdasarkan pendapatan dan sebagainya.

“Inisiatif kepada kumpulan M40 sebenarnya diperluaskan atau bahasa mudahnya adalah sambungan daripada program B40 cuma, M40 ini ada dua kategori iaitu atasan dan bawahan yang membabitkan kategori berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 seterusnya RM5,000 hingga RM10,000,” ujarnya lagi.

Zuraida menerima cenderamat daripada Pengerusi MWCQP, Dr. Fauziah Mohd Hasan

Zuraida menerima cenderamata daripada Pengerusi MWCQP, Dr. Fauziah Mohd Hasan

Zuraida turut menyatakan kerajaan bukan saja prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah (B40), tetapi golongan M40 yang dilihat turut berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

Menyentuh isu Palestin, Zuraida menyatakan cadangan bagi mewujudkan kaukus dalam sidang Dewan Rakyat mengenai isu pembebasan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu depan dan beliau sendiri akan mencadangkannya kerana sudah tiba masanya kaukus seperti ini diwujudkan bagi memastikan Malaysia serius menolong orang Islam di Gaza khususnya untuk pembebasan mereka.

“Memandangkan kita yakni Malaysia sudah meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jadi ia membolehkan kita untuk memperjuangkan keamanan seluruh dunia dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak Palestin seperti MyCare boleh diangkat sebagai platform untuk perjuangan pembebasan Palestin yang telah lama ditindas oleh rejim zionis di bumi mereka sendiri,” tegas Zuraida.

Turut hadir adalah Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH MALAYSIA), Datin Seri Shamsidar Taharin dan Pengerusi Malaysia Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP) Dr. Fauziah Mohd Hasan. Kempen tersebut telah bermula dari 28 Februari sehingga 9 Mac dan merupakan anjuran Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP). Tujuan kempen ini adalah bagi menyediakan biasiswa pendidikan kepada sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin.

-NAZ

Tinggalkan komen anda