Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Kejayaan Tidak Mengenal Putus Asa

By 26 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan / foto : Yuslina Ibrahim/Siti Fazilah Derahman (Pasir Mas)

PASIR MAS, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Bukan semua manusia dilahirkan bernasib baik dalam kesenangan dan kemewahan. Ramai yang perlu melalui pelbagai kesusahan hidup untuk mencapai kejayaan yang menjanjikan impian kebahagiaan satu kenyataan.

Begitulah dengan Norlailawati Zakaria, 38, berasal dari Jeli merupakan seorang usahawan wanita yang berjaya, bertapak kukuh di Daerah Pasir Mas. Beliau menetap di Pasir Mas selepas berkahwin.

Pada masa itu beliau hanya menguruskan rumah tangga dan suami berkerja menjual ikan di pasar.

Keperitan hidup lampau mengajar beliau agar bijak dalam mengatur kehidupan. Bermula dari seorang suri rumah, beliau kuatkan tekad untuk membuka Pusat Perawatan Kesihatan Wanita di rumahnya, berbekalkan pinjaman modal dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sebanyak RM 5000.

“Hasil pendapatan yang diperolehi tidak menguntungkan sangat namun kami tetap kuatkan semangat, di samping itu kami turut membuka kedai runcit di kawasan kediaman ini, syukur juga kepada kerajaan kerana banyak memberi kemudahan kepada usahawan kecil seperti kami.” bercerita kisah lalunya.

Bangunan Syarikat Sham Maju Group

Bangunan Syarikat Sham Maju Group

Beliau dan suami nekad untuk menjadi kontraktor dan membuka perniagaan Sham Maju Enterprise.

Syarikat mereka terpaksa menempuh pelbagai cabaran serta dugaan sebelum berjaya dan dikenali seperti sekarang.

Antara cabaran dan dugaan yang dihadapi ialah, kekurangan modal,sikap sesama kontraktor melayu yang suka bersaing secara tidak sihat, cantas sesama sendiri untuk dapatkan projek dan kehilangan pekerja mahir kerana beralih arah untuk bekerja di tempat lain.

Semua cabaran itu menguatkan lagi semangat juangnya untuk berjaya seperti hari ini.

Hasil usaha mereka berdua, syarikat yang mereka miliki telah berkembang maju dan nama Syarikat juga telah ditukar kepada Syarikat Sham Maju Group.

“Perniagaan yang diusahakan ini telah saya pelbagaikan, bukan saja dalam bidang pembinaan, malahan percetakan, pusat internet, kosmetik dan perkhidmatan pembayaran pelbagai jenis bil.” kata Norlailawati.

Kini, beliau mampu tersenyum lebar kerana usaha mereka berdua telah membuahkan hasil.
Kejayaan yang mereka kecapi sekarang juga adalah kerana pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat memajukan diri dalam bidang perniagaan seperti kemudahan dari segi kewangan, perhidmatan pembaharuan lesen, kursus-kursus perniagaan.

Mereka juga mempunyai bangunan syarikat sendiri yang menempatkan semua cabang perniagaan yang diusahakan dan juga memiliki kenderaan syarikat sendiri.

Bangunan ini terletak di Jalan Meranti, Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas dan dibina atas tanah pusaka milik suaminya.

“Saya dan suami mula berjinak-jinak sebagai kontraktor pada tahun 2012 sehinggalah sekarang. Bermula dengan sifar pengalaman dalam bidang pembinaan dan kontraktor, namun mampu berdiri seperti dengan mereka yang lebih berpengalaman.” tambahnya.

Pendapatan yang diperolehi juga melebihi apa yang mereka perolehi satu ketika dulu. Kalau dulu hanya tiga orang pekerja, sekarang jumlahnya meningkat 10 orang di bahagian pentadbiran.

“Bersusah-susah dahulu, besenang-senang kemudian, itulah antara pengalaman hidup sebelum berjaya seperti sekarang, untuk berjaya jangan berputus asa, walau cuma berkelulusan SPM namun itu bukan alasan suatu kekurangan dan kelemahan untuk berjaya seperti orang lain.” ujarnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda